“SAYA terdiam, rasa macam tak percaya.”
Itu antara yang dirasai pelakon Didie Alias selepas menerima berita pemergian sahabt baiknya iaitu aktor Allahyarham Badrul Muhayat semalam.
Menurut Didie atau nama penuhnya Fadzilah Mohd Ali, pemergian Badrul adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana Allahyarham tidak menunjukkan sebarang petanda pelik sebelum ini.
“Masih di awan-awangan lagi untuk hadam bahawa dia sudah tiada sebab saya baru sahaja berbual tentang dia nak sertai acara anjuran saya di Kota Kinabalu, Sabah nanti.
“Pemergian dia antara yang paling mengejutkan saya sebab tiba-tiba wajahnya muncul dengan salam takziah dalam media sosial.
“Saya terdiam dan terus mencari rakan artis untuk pengesahan. Rupa-rupanya berita itu sahih tetapi masih lagi tak boleh nak terima sampai sekarang,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves di sini, hari ini.
Ujar pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu, cara pemergian Badrul iaitu meninggal dunia ketika tidur dicemburui ramai.
“Pemergian dia memang senang sangat, ramai orang cemburu. Bila tengok gambar akhir dia, nampak seperti sedang tidur,” katanya dalam nada sebak.
Dalam pada itu, dia yang juga pengacara terharu melihat kehadiran rakan seperjuangan dalam industri seni yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham hari ini.
“Saya lihat ramai rakan-rakan baiknya hadir hari ini seperti Azhar Sulaiman, Esma Daniel dan Azri Iskandar.
“Dia memang seorang yang amat disenangi ramai. Ada hikmah juga dikebumikan di Kuala Lumpur, dapat juga rakan-rakan industri hadir hari ini,” ujarnya.
Hari ini, jenazah Allahyarham Badrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda sekitar pukul 9.45 pagi tadi.
Pelakon itu selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini, sebelum disembahyangkan dengan dihadiri lebih 100 orang termasuk ahli keluarga dan rakan selebriti.
Antara selebriti yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Presiden Seniman, Zed Zaidi, Azhar Sulaiman, Azri Iskandar dan Didie Alias.
Semalam, Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam pagi semalam.
Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati Zulkapli, 50, yang baru dinikahi pada 18 April lalu.
Allahyarham juga meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.
Aktor itu terkenal dengan filem Harry Boy pada tahun 1991 dan Riang Tirana (1990). – HIBGLAM