BERJAYA menyuntik emosi dalam lagu, persembahan Liza Hanim menerusi lagu Kembali Terang membuatkan hampir semua penonton konsert minggu kelima All Star Gegar Vaganza (GV10) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bergenang air mata.
Bukan sahaja penonton, pengacara Jihan Muse juga dilihat tidak mampu menahan sebak usai tayangan LED memaparkan wajah polos anak-anak kecil di Gaza.
Berusaha sedaya upaya menghabiskan nyanyian, Liza ternyata gagal mengawal emosi apabila air matanya mulai gugur di penghujung lagu.
Jelas pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu, sebagai seorang ibu, dirinya cukup terkesan dengan apa yang berlaku pada rakyat Palestin terutama kanak-kanak.
“Sebagai seorang ibu, agak payah untuk saya teruskan persembahan ini, saya akui apa yang terjadi di Palestin memberi kesan kepada saya.
“Saya mohon semua orang berdoa, kepada yang ada anak, peluk eratlah anak selagi mereka masih berada di hadapan kita,” tuturnya usai persembahan.
Persembahan Liza juga turut mendapat pujian juri tetap Hetty Koes Endang yang menyifatkan penjiwaan penyanyi tersebut sampai ke hati penonton.
“Emosi dan penjiwaan dapat, saya merasai jiwa dalam penyampaian kami, ” ujar Hetty.
GV10 memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.
Tambahan enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta GV10 adalah seramai 16 peserta. – HIBGLAM