TIADA lagi kecaman dan lebih terkawal, itu yang dapat dilihat menerusi gaya pengacaraan penyanyi Elly Mazlein pada konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam malam ini.
Jika sebelum ini kerap dikritik kerana terlalu gedik dan ‘hyper’, Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom pada malam ini dilihat lebih sopan selain tidak membuatkan penonton meluat.
Menjengah ruangan komen dalam media sosial, rata-rata memuji pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 42, yang tidak keterlaluan malam ini.
“Bagus Kak Lina malam ini, tak menyampuk ketika juri beri komen dan intonasi suaranya juga lebih profesional.
“Seronok tengok Elly hari ini sebab lebih sopan dan bijak mengawal situasi tegang,” komen netizen.
Terdahulu, Elly menerima kecaman hebat daripada netizen dan dilabel sebagai pengacara keterlaluan sehingga ada yang meminta pihak produksi ASGV menyingkirkan namanya.
Berikutan kecaman tersebut, Elly memohon maaf jika gelagatnya di pentas ASGV membuatkan ramai meluat dan menjelaskan dia melakukannya atas dasar kerja.
Selain Elly, GV10 turut dihoskan Nabil Ahmad dan Jihan Muse. – HIBGLAM