DEMI menghiburkan penonton, pengacara sensasi Elly Mazlein menegaskan perlu memiliki pelbagai karakter setiap kali menjadi hos program hiburan seperti Gegar Vaganza (GV10).
Pemilik nama penuh Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu berkata, karakternya di atas pentas sebagai pengacara berbeza daripada belakang tabir.
“Itu dinamakan kerja tetapi penat kalau 24 jam menjadi Kak Lina Pom Pom.
“Apabila di atas pentas perlu ada pelbagai watak sebab saya jadi hos program hiburan.
“Asalkan saya tahu batas sebagai isteri orang dan tidak menyentuh mana-mana peserta lelaki cuma ‘menggeletis sahaja,” katanya kepada HibGlam, semalam.
Ditemui selepas konsert minggu kedua konsert All Stars Gegar Vaganza, Elly terbuka menerima setiap kritikan dan kecaman netizen mengenai ‘kegedikannya’ sebagai hos di sisi Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Jelasnya, semua pihak mempunyai hak untuk menyuarakan sebarang pandangan dalam media sosial berkaitan cara pengacaraannya.
“Saya baca komen netizen dan ambil maklum pandangan mereka, menerima serta menghormati semuanya dengan positif.
“Tiada istilah terasa hati atau menangis pun sebab saya sayang netizen dan anggap mereka seperti kawan-kawan,” jelasnya yang popular menerusi lagi Bungaku Bakawali.
Disebalik kecaman, dia mengakui terkejut dengan respons positif para penonton yang sentiasa menanti kemunculannya dalam konsert GV10 setiap minggu sehingga namanya trending dalam media sosial.
“Terharu dengan sambutan yang diberikan orang ramai yang menerima hasil kerja saya terutama pada usia lewat ini.
“Setakat ini saya seronok dan mengakui adakalanya terfikir cara untuk hiburkan penonton pada minggu mendatang.
“Syukur, saya ada rakan pengacara yang saling membantu iaitu Nabil dan Jihan. Apapun terima kasih kepada semua yang menyokong saya,” ujarnya.
Sebelum ini, Elly, 42, dikecam kerana gaya pengacaraannya dikatakan ‘hyper’, ‘over’ (melebih-lebih) dan gedik.
Selain itu, dia juga dikatakan mencuri terlalu banyak perhatian ramai sehingga menenggelamkan barisan peserta yang bertanding.
Susulan itu, dia membuat permohonan maaf menerusi akaun Instagramnya dan menyatakan akan menjadi Elly Mazlein pada konsert minggu kedua.- HIBGLAM
View this post on Instagram