JIKA bukan bola sepak, pasti badminton. Dua jenis sukan tersebut sering menjadi subjek utama dalam mana-mana filem tempatan.
Berbeza pula pendekatan dilakukan menerusi filem Gemencheh Boys yang memilih untuk mengetengahkan kisah enam anak Felda yang berjaya menjulang nama Malaysia di mata dunia menerusi sukan kriket. Lain bukan?
Naskhah berkenaan diceritakan daripada kaca mata atlet kriket kebangsaan, Shafiq Sharif yang mewakili Malaysia untuk Piala Dunia Kriket pada 2019 dan berjaya merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2017.
Dikenali dengan sifat nakal, perjalanan hidup enam pelajar tersebut berubah selepas seorang guru di sekolah mereka iaitu Cikgu Azman memperkenalkan sukan kriket.
Pengarahnya, Jason Chong, berkata, Gemencheh Boys membawakan kisah kanak-kanak kampung digelar sebagai ‘enam jahanam’ yang tidak diketahui ramai.
“Filem ini sangat istimewa sebab setiap karakter berjaya adalah nyawa bagi setiap plot.
“Saya memang mencari kisah inspirasi yang boleh menyentuh hati dan secara tak sengaja bertemu rakan yang menceritakan kejayaan Syafiq.
“Selepas bertemu Syafiq dan bila mendengar ceritanya saya rasakan saya jumpa kisah dicari. Selepas itu, kami berjumpa dengan Cikgu Azman dan terus jatuh cinta dengan kisahnya,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar filem tersebut baru-baru ini.
Harapan menggunung di dada, Jason menyifatkan Gemencheh Boys memiliki nilai positif yang terlalu besar untuk disalurkan kepada para penonton.
Ujarnya, filem ini bukan sekadar hiburan tetapi dilengkapkan dengan nilai kemanusiaan yang mampu membuat penonton menitiskan air mata.
“Projek ini dihasilkan dengan sepenuh jiwa kami.
“Saya percaya filem Gemencheh Boys mampu meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak seperti mana filem terdahulu yang diterbitkan, Adiwiraku.
Bercerita mengenai enam pelakon cilik sebagai teraju utama ‘enam jahanam’, Jason mengakui proses pemilihan mereka agak sukar memandangkan kesemuanya tidak memiliki asas lakonan.
“Bagi mengisi enam watak itu, kami mengadakan perlawanan persahabatan kriket antara tiga sekolah dan dari situ kami dapat senarai pendek 12 pemain.
“Pengetahuan mereka tentang lakonan kosong, jadi saya mengadakan bengkel selama enam kali pada hujung minggu untuk mendedahkan mereka terhadap kerja produksi.
“Keseluruhan proses ini mengambil tempoh lebih dua bulan, namun hasilnya sangat hebat. Bangga sungguh dengan komitmen mereka,” ujarnya.
‘Underdog’
Menyandang peranan sebagai penerbit, aktres Sangeeta Krishnasamy mengakui tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menerbitkan filem yang dianggap mampu memberi inspirasi kepada golongan muda.
“Kita lihat filem sukan dari luar negara, mereka julang sehingga ada yang raih rekod pecah panggung.
“Jadi, mengapa perlu kita abaikan kejayaan sekumpulan anak muda dari Felda yang telah menjulang nama Malaysia sehingga meraih emas dalam sukan kriket?” ujarnya.
Menjawab mengenai dakwaan sukan kriket menjadikan filem ini sebagai ‘underdog’ berbanding filem lain, dia hanya menyerahkan hak pemilihan kepada penonton.
“Kalau anda nak tahu, kriket adalah sukan anak orang kaya dan bila tahu ada kisah anak Felda ini, memang menarik.
“Ditambah pula dengan cerita mengenai usaha keras Cikgu Azman yang membantu ‘enam jahanam’ hingga berjaya, semakin bertambah semangat untuk hasilkan filem ini.
“Namun, semuanya saya serahkan kepada penonton pada bulan depan. Harap berikan hak yang sepatutnya untuk filem begini,” tuturnya.
Filem yang menjalani penggambaran pada 2019 itu membariskan pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim dan enam pelakon kanak-kanak, Aqil Yaya, Syed Ahmad, Ayiet Harith, Kimi Norais, Izzue Deen dan Amir Kuziq.
Selain itu, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Zaidi Omar, Farah Ahmad dan Azman Hassan antara yang membintangi filem ini.
Selain itu, Gemencheh Boys yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 26 Oktober depan turut mendapat sokongan daripada Malaysia Cricket Association dan Kementerian Belia Dan Sukan.
Gemencheh Boys merupakan arahan Jason bersama Eric Ong terbitan Astro Shaw bersama GV Corporate Advisory dan SOL Pictures. – HIBGLAM