PENYANYI Ernie Zakri pernah berhasrat untuk meletakkan titik noktah terhadap kerjaya nyanyiannya gara-gara kecewa selepas gagal mencipta nama sebagai penyanyi beberapa tahun lalu.
Ujar Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, dia mahu melupakan minatnya terhadap kerjaya nyanyian, selepas lapan tahun cuba menempatkan diri dalam industri namun tetap gagal.
Saya memulakan kerjaya sejak 2009. Dalam tempoh lapan tahun itu, saya sangat susah untuk mencipta nama seperti hari ini.
“Selepas lapan tahun berjuang, saya telah membuat keputusan muktamad untuk berhenti daripada menyanyi. Kalau boleh saya tidak mahu langsung berdiri atas pentas lagi,” ujarnya kepada HibGlam.
Kata isteri kepada penyanyi Syamel itu lagi, sepanjang tempoh lapan tahun tersebut, dia telah mengeluarkan hampir 20 buah lagu (single), namun dia masih gagal diterima oleh masyarakat sebagai seorang penyanyi.
Jadi ketika itu saya berasa sangat marah dan tidak boleh menerima kenyataan sehingga merasakan diri ini tidak bagus untuk bergelar seorang penyanyi.
“Saya rasa tidak layak untuk berada dalam industri ketika itu,” katanya.
Walaubagaimanapun, Ernie ketika ditemui di majlis pradengar album terbaharunya berjudul Aura di sini, semalam, mempertimbangkan semula hasratnya untuk bersara selepas dinasihatkan oleh ibunya supaya tidak berhenti menyanyi.
Kata Ernie, ibunya, Rafiaah Mohamed memberitahu, segala apa yang terjadi adalah melibatkan rezeki dan dia perlu yakin masanya untuk bersinar akan sampai suatu hari nanti.
Saya ingat lagi, ibu pernah nasihatkan supaya jangan berhenti menyanyi. Ibu minta saya untuk teruskan minat dalam bidang nyanyian.
“Sebab semua yang berlaku adalah atas rezeki Allah SWT. Bila difikirkan semula hari ini, saya sangat gembira apabila mendengar nasihat ibu saya.
Kalau saya membuat keputusan untuk berhenti selepas lapan tahun menyanyi, tidak mungkin saya akan berada di sini dengan kamu (wartawan) semua,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ernie turut melahirkan rasa syukur apabila berpeluang untuk melahirkan album keduanya yang berjudul Aura selepas 14 tahun berada dalam industri.
Kata Ernie, Aura merupakan buah tangan yang cukup bermakna dalam kerjaya seninya, kerana mengandungi lagu-lagu bersifat positif dan menceritakan tentang perjalanan pahit dan manisnya sepanjang bergelar anak seni.
Sebanyak 10 lagu terkandung dalam Aura antaranya Masing-Masing, Terima Seadanya, Gelita, Tercipta Sempurna, Jangan Hilang Percaya dan Satu Cinta yang membabitkan sentuhan komposer terkenal seperti Helen Yap, Aubrey Suwito, Ezra Kong, Amylea dan suaminya sendiri, Syamel.
Ernie memulakan kerjaya seni selepas menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 2009. Sekitar 2011, anak saudara kepada penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain itu lahir dengan album pertamanya yang berjudul Sinaran yang memuatkan lagu seperti Mahu Ingin Bercinta dan Rindu Bukan Teman. – HIBGLAM