DIULIT bahagia, penyanyi Sufian Suhaimi tiba-tiba terpalit isu hutang membabitkan abang kepada bakal isterinya, Rania Al Sadat.
Ciapan seorang individu menerusi platform X mendakwa saudara terdekat wanita terbabit mempunyai hutang tertunggak mencecah RM12,000 yang belum dilunaskan.
Perkongsian sama turut mendedahkan lelaki dimaksudkan itu liat untuk menunaikan janji meski berhutang tiga tahun lalu.
“Ini saya nak cakap, saya dah penat minta hutang dekat abang dia (Rania). Dah tiga tahun tunggu dia bayar. Janji nak bayar tapi tak pun, RM12,000 bukan sikit, banyak woi!
“Macam mana nak selesai cara baik. Dah tiga tahun aku tunggu hutang saya,” luah pemilik akaun X itu.
Menerusi ciapan itu juga, individu terbabit turut meminta penyanyi lagu Di Matamu itu melangsaikan hutang tersebut.
“Alif Al Sadat bila kau nak bayar hutang kau? Tak pun suruhlah bakal adik ipar kau bayarkan. Saya dah tak ada jalan lain. Dia tak balas, dia tak muncul bila ajak jumpa,” katanya.
Sufian, 31, bagaimanapun membalas dakwaan berkenaan dengan mengatakan bakal surinya tidak mempunyai abang.
Pada masa sama, penyanyi itu mempertikaikan motif individu terbabit mengheret orang lain untuk melunaskan pinjaman yang tiada kaitan dengan urusan mereka.
“Dia tak ada abang. Kalau ada pun, engkau suruh bakal adik ipar bayarkan dah kenapa?” ulasnya ringkas.
Menerusi semakan, ciapan pemilik yang menggunakan nama M itu sudah dipadam malah Sufian tidak menjawab panggilan HibGlam bagi mendapatkan penjelasan.
Sementara itu, hantaran Rania dalam Instagram Story mengesahkan kenyataan penyanyi berkenaan bahawa dirinya tidak mempunyai abang.
Dia memuat naik gambar seorang kanak-kanak bernama Syamil berusia sekitar lima tahun yang disahkan satu-satunya adik lelakinya.
Sabtu lalu, keluarga Sufian difahamkan berkunjung ke kediaman Rania bagi tujuan merisik bersandarkan gambar dikongsikan pengguna media sosial. – HIBGLAM