KISAH kecurangan bekas pemain bola sepak terkenal, David Beckham semakin mencuri perhatian apabila mantan kekasih gelapnya, Rebecca Loos mendakwa dia bukan satu-satunya wanita pernah bersama dengan lelaki itu.
Dalam satu pendedahan terbaharu, Loos berkata dia pernah melihat bekas pemain bola sepak England itu berselingkuh dengan seorang model Sepanyol sekitar 2003 di sebuah hotel.
“Kejadian itu berlaku semasa dia (Beckham) menghadiri majlis hari jadi pemain bola sepak Brazil, Ronaldo Nazario. Ketika itu dia sudah empat tahun berkahwin dengan Victoria Beckham,” kata Loos.
Menurut Loos, dia melihat Beckham bersama model tersebut berdua-duaan di taman hotel berkenaan tanpa menyedari aksi mesra mereka diperhatikan dari jauh.
Pada masa sama, Loos yang ketika itu bertugas sebagai pembantu peribadi Beckham mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada Victoria selepas bekas anggota kumpulan Spice Girls itu gagal menghubungi suaminya yang leka berselingkuh.
“Victoria marah sebab dia cuba menelefon suaminya, tetapi panggilan itu tidak berjawab,” dedah Loos dalam satu temu bual pada 22 Oktober lalu.
Loos berkata, Victoria dalam perbualan itu memintanya untuk mencari lelaki berusia 48 tahun itu di bilik hotel, namun mendapati dua pengawal peribadi mengawal pintu bilik itu.
Ketika salah seorang pengawal masuk memanggil Beckham, Loos ternampak model berkenaan sedang baring di atas katil.
Loos berkata, ketika itu hatinya berasa sakit kerana menyedari telah diperbodohkan ‘kekasihnya’.
Terdahulu, wanita berusia 46 tahun itu membuka mulut mengenai percintaannya dengan Beckham selepas bekas pemain kelab Manchaster United itu menyangkal dakwaan mereka pernah menjalin hubungan terlarang sekitar 2002 dalam dokumentari Netflix berjudul Beckham. – HIBGLAM