PELAKON baharu, Danial Dashuki, 29, tidak menyangka mampu menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Teater Tradisional) sempena Anugerah Teater Malaysia 2023 yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), 7 Oktober lalu.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan Danial menundukkan pelakon senior, Datuk Jalaluddin Hassan yang turut tercalon dalam kategori yang sama.
Menurut Danial, dia bersyukur menerima penghargaan tersebut yang sekali gus menyaksikan industri menerima baik penglibatan pendatang baharu seperti dirinya.
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini apatah lagi diri masih lagi mencari tapak sebagai pelakon baharu dalam industri seni tanah air.
“Mereka yang tercalon dalam kategori sama merupakan pelakon-pelakon yang hebat dan menjadi rujukan saya. Syukur dengan pengiktirafan ini.
“Walaupun berbangga dengan kejayaan ini, saya berjanji akan jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha memperbaiki mutu lakonan serta memberikan yang terbaik dalam apa jua saya lakukan,” katanya.
Danial meraih kemenangan tersebut menerusi watak Tun Mamat yang digalasnya dalam pementasan Teater Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang.
Selain Datuk Jalaluddin, turut tercalon dalam kategori sama ialah pelakon Mohd Hady Tahir, Hafizie Zulkifeli dan Murshid Md Hussain.
Malam Anugerah Teater Malaysia merupakan program penganugerahan dan penghargaan kepada karyawan seni serta petugas teater dari pelbagai genre seperti monolog, monodrama, teater moden, teater muzikal dan teater tradisional.
Untuk info, Danial mula berkecimpung dalam bidang lakonan sejak empat tahun lalu selain turut aktif di pentas peragaan. – UTUSAN