KEMELUT dalaman keluarga penyanyi terkenal Shila Amzah yang menjadi perdebatan netizen meraih perhatian penghibur senior, Datuk Hattan untuk menitipkan pesanan.
Penyanyi Biso Bonar itu berharap pihak terbabit tidak lantang membuka pekung keluarga sendiri dalam media sosial yang pada akhirnya memalukan diri mereka.
Katanya, perkara membabitkan adik-beradik sepatutnya dibincangkan antara mereka sahaja tanpa campur tangan orang luar yang tidak mengetahui apa-apa.
“Dalam institusi keluarga, kalau bergaduh sesama adik-beradik, jangan kita heboh dekat orang luar, buat apa kita nak buka aib keluarga kita.
“Itu tak betul, ini tak benar, apa manfaatnya kita cerita di media sosial sedangkan netizen semua orang luar, yang untung orang luar dapat ‘like’ dan ‘content’ banyak, kita hanya dapat malu sahaja.
“Bergaduh adik-beradik itu biasa, air dicincang takkan putus, lebih baik duduk semeja dan berunding secara elok-elok,” ujarnya menerusi sebuah hantaran video dalam media sosial.
Penghibur berusia 59 tahun itu juga percaya semua masalah ada jalan penyelesaian dan atas dasar itu, perlu wujud toleransi terutama dalam kalangan ahli keluarga.
“Bayangkan bergaduh bagai nak rak tapi hujung-hujung kembali berbalik, tidakkah cela semua itu.
“Saya percaya tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan, apapun berundinglah secara damai,” katanya.
Dalam pada itu, Hattan turut meminta orang ramai untuk terus mendoakan keselamatan saudara Islam di Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka.
“Sedih lihat saudara kita di Palestin, jadi ayuh sama-sama kita mendah tangan mendoakan yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Konflik keluarga Shila bermula selepas adik bongsunya, Syada Amzah memuat naik hantaran mencari rumah sewa disebabkan bakal dihalau keluar dari kediaman yang diduduki bersama ibu mereka.
Rentetan itu, Shila membuat hantaran balas dalam sesi siaran langsung di Instagram dengan mendedahkan dirinya bekerja sejak kecil selain tidak memegang kad bank serta kad pengenalan sehingga berumur 28 tahun.
Pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut memperincikan keputuan menjual rumah miliknya serta sikap Syafiq Amzah dan Syada sehingga ibu mereka, Fauziah Sarman pula tampil bersuara sekali gus menghangatkan lagi suasana. – HIBGLAM
@shila.amzah0 #shilamzahxubai #fypシ゚viral #foryoupageofficiall #foryou #fypシ #shilaamzah #fypシ゚viral ♬ original sound – Shila Amzah