Bakal timang anak lelaki, Dayana Roza hidap anemia, SPD

PELAKON, Dayana Roza mendedahkan kehamilan kali ini lebih mencabar berbanding ketika mengandung anak sulung apabila berdepan pelbagai masalah kesihatan.

Dayana yang kini hamil lima bulan berkata, dia mengalami masalah yang dipanggil symphysis pubis dysfunction pregnancy (SPD), iaitu keadaan yang menyebabkan tulang pelvisnya menjadi renggang.

Akibatnya, pemilik nama lengkap Nur Dayana Kamsun Baharin, 32, itu terpaksa menanggung rasa sakit pada pangkal paha sehingga sukar untuk berjalan dan tidur.

“Kehamilan kali ini memang berbeza berbanding sewaktu mengandung anak pertama. Doktor sahkan saya mengalami  SPD, iaitu tulang pelvis menjadi renggang yang menyebabkan rasa sakit pada pangkal paha.

“Jadi, saya berisiko tinggi jika bersalin secara normal. Pernah berlaku kes seorang ibu, tulang pelvisnya tercabut ketika bersalin normal,” katanya kepada HIBGLAM.

Selain SPD, Dayana turut menghidap anemia iaitu kekurangan darah merah sehingga bacaannya darahnya menjadi terlalu rendah.

“Bacaan darah saya sembilan berbanding bacaan normal iaitu 12. Jadi saya terpaksa disuntik dengan iron dan dimasukkan darah kerana kerap berasa keletihan dan hendak pitam,” jelasnya.

Walaupun berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan, pelakon drama Cinta Bukan Kristal  itu tetap bersyukur dan gembira kerana bakal menimang cahaya mata lelaki.

Menurut Dayana, sudah lama dia mengimpikan dikurniakan anak lelaki bahkan itu harapannya ketika hamil anak sulung namun doa suami untuk menimang cahaya mata perempuan diperkenankan Ilahi.

“Alhamdulillah, yang kedua ini anak lelaki. Sebenarnya naluri saya kuat mengatakan kali ini anak lelaki kerana keadaannya agak berbeza berbanding kehamilan terdahulu.

“Kali ini jadi ketagih minum kopi. Setiap hari kena minum kopi tanpa gula. Lagi pahit, lagi sedap,” katanya.

Dalam pada itu, Dayana yang ditemui ketika majlis pengumuman jantina bayi dalam kandungannya baru-baru ini turut memberitahu bakal menamakan anaknya dengan pangkal huruf A.

“Untuk anak kedua ini, saya sendiri yang akan beri nama kepadanya. Bermula dengan pangkal huruf A. Namanya adalah gabungan nama moden dan klasik,” kata Dayana yang dijangka bersalin awal Januari tahun depan.

Terdahulu, Dayana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, A’dale Adham Ayahudin, 36, pada 25 Disember 2020 selepas lima bulan mengikat tali pertunangan.

Majlis yang berlangsung di Majid Negara itu hanya dihadiri sekitar 30 tetamu terdiri daripada keluarga terdekat dan teman rapat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Hasil perkahwinan tersebut, Dayana dikurniakan cahaya mata perempuan, Astrid Raheeya yang kini berusia dua tahun. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok