KUALA LUMPUR – Bukan sahaja seorang anak seni berbakat besar, pelakon Allahyarham Badrul Muhayat juga disifatkan sebagai seorang anak dan bapa yang sangat prihatin tentang hal-hal kekeluargaan.
Keperibadian mulia tersebit diakui ibunya, Datin Zahrah Othman, 75, yang bersyukur kerana dikurniakan seorang anak sulung yang sentiada mengambil berat perihal keluarga selama ini.
Ujarnya, Badrul merupakan seorang anak yang baik dan tidak pernah walau sekali pun meninggikan suara.
“Dia tidak pernah menengking saya dan hampir setiap hari dia akan menelefon saya untuk bertanya khabar.
“Dia pernah tanya saya, macam mana kalau dia ‘pergi’ dulu’, saya cuma jawab akan reda sebab kita semua akan mati cuma tidak tahu bila tarikhnya,” katanya.
Menurut Zahrah, badannya lemah apabila menerima berita kematian Badrul yang meninggal dunia ketika tidur di sebuah inap desa di Pulau Pinang.
“Apabila saya menerima berita pemergian Badrul semalam, kaki terus rasa lemah.
“Meskipun pahit untuk terima, saya reda sebab Allah SWT akan ambil nyawa bila-bila masa sahaja.
“Jadi, saya terima namun sebagai ibu sudah tentu menangis kerana sangat sayangkan dia,” katanya lagi.
Sementara itu, anak sulung Badrul, Nur Delisha, 16, pula mengakui akan sangat merindui bapanya yang sering mengambil berat mengenai dia dan adiknya, Badrul Hidayat.
“Saya sedih dan terkejut sebab malam sebelum itu, dia kata mahu masukkan ‘top up’ tapi dapat tahu pula esoknya papa sudah tiada.
“Saya dapat tahu pun daripada sepupu dan adik pun tak percaya, dia duduk dalam bilik menangis seorang diri,” katanya lagi.
Kongsinya lagi, dia sempat bertemu dengan arwah bapanya pada Jumaat lalu sebelum Badrul ke Pulau Pinang bagi menyertai sebuah karnival jualan di Seberang Perai.
“Kami ada berjumpa kelmarin sebelum dia ke Pulau Pinang dan sempat makan bersama.
“Rasa tidak percaya papa sudah tiada sebab dia akan selalu bertanya khabar kami setiap hari, ucap ‘good morning’ dan ‘good night’ kemudian tanya udah solat atau belum.
“Dia seorang papa yang sangat mengambil berat,” kongsinya lagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Badrul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda sekitar pukul 9.45 pagi tadi.
Antara selebriti yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Presiden Seniman, Zed Zaidi, Azhar Sulaiman, Azri Iskandar dan Didie Alias.
Semalam, Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, meninggal dunia dalam tidur di sebuah inap di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam pagi semalam.
Badrul meninggalkan seorang balu, Norhayati Zulkapli, 50, yang baru dinikahi pada 18 April lalu.
Allahyarham juga meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.
Aktor itu terkenal dengan filem Harry Boy pada tahun 1991 dan Riang Tirana (1990). – HIBGLAM