KONSERT minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (GV10) menyaksikan kejutan apabila tiada peserta tersingkir malam tadi.
Acara yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Shah Alam itu menyaksikan seramai 14 peserta layak melangkah ke minggu keempat bertemakan Berdua Bersatu yang bakal menyaksikan kolaborasi bersama penyanyi terkenal.
Konsert ketiga GV10 turut menyaksikan Ayai Ilusi yang mendendangkan lagu Donde mendapat markah terendah iaitu 51.7 peratus namun diumumkan terselamat.
Sementara itu, penyanyi Jaclyn Victor yang juga juara Gegar Vaganza (GV) musim kesembilan muncul sebagai peserta yang menduduki tangga teratas dengan markah 76 peratus.
Tempat kedua pula menjadi milik naib juara GV keempat iaitu Liza Hanim dengan markah 74.7 peratus manakala Naqiu pula berada di tempat ketiga dengan kutipan markah 74.5 peratus.
Menurut ketua juri, Datuk Ramli MS berkata, prestasi beberapa peserta terjejas susulan pemilihan lagu yang bukan era mereka.
“Kebanyakan lagu bukan zaman mereka. Peserta yang berusia 50-an nak nyanyi lagu terkini sangat mencabar buat mereka,” katanya pada sidang akhbar usai konsert malam ini.
Sementara itu, tiada penyingkiran malam ini menyaksikan 16 peserta terdiri daripada Naqiu, Nikki Palikat, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina, Zamani, Jaclyn Victor dan Noryn Aziz berjaya melangkah ke minggu ketiga.
Sementara itu, Ayai Illusi, Siti Nordiana, Ezad Lazim, Aliff Aziz, Datuk Aishah, Tomok turut mara ke peringkat seterusnya.
Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.
Konsert GV10 diacarakan trio pengacara, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.
GV10 yang memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.
Enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta GV10 seramai 16 peserta.
Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM