Kutukan Sembilan Setan, tajuknya sahaja bagaikan pantas membuat orang ramai berdiri bulu roma meskipun hanya sekadar menonton trailer atau melihat poster.
Filem yang tidak lama lagi menghantui pawagam memberi pengajaran serta jumpscare yang mendebarkan dan boleh dikatakan, segar selain bakal menjangkau piawaian kebiasaan karya bergenre sedemikian.
Lebih menarik, garapan naskhah adalah inspirasi kisah benar diolah melalui kisah sekumpulan remaja yang mengalami kejadian seram dan aneh ketika bercuti di Gunung Bromo terletak di Jawa Timur, Indonesia.
Meskipun gunung tersebut merupakan sebuah destinasi yang popular, namun tersembunyi seribu satu kisah misteri yang pernah dialami sendiri oleh segelintir pendaki.
Perkara tersebut memberi ilham buat syarikat produksi Indonesia, PIM Pictures untuk mendokumentasikan kisah dalam bentuk filem.
Dari kisah benar
Penerbitnya, Agustinus Sitorus memberitahu, mereka berminat untuk menerbitkan filem berkenaan setelah mendengar kisah benar seorang pemuda, Very Barus bersama tiga orang rakannya yang mengalami kejadian aneh dan seram ketika mendaki gunung Bromo.
Apabila diceritakan pengalaman tersebut, akhirnya kami berbincang dan sepakat untuk menghasilkan filem Kutukan Sembilan Setan.
“Jalan cerita yang dipaparkan dalam filem diolah menjadi sebuah kisah yang menarik, liang-liuk serta emosi perjalanan cerita ini sangat berat, namun akan mudah difahami.
“Emosi filem juga akan menjadi nyata memandangkan garapannya adalah inspirasi kepada kejadian yang dialami sekumpulan remaja tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Arie Aziz selaku pengarah pula memberitahu, Kutukan Sembilan Setan bukan sekadar filem seram semata-mata, malah menjangkakan naskhahnya itu dijadikan satu penanda aras baharu buat filem bergenre seram.
Ujarnya, naratif filem terbaharu arahannya itu mengadun sebati suntikan perasaan manusia yang tidak terjangka.
Seram lain macam
Selain kisah seram, filem ini turut menerapkan elemen-elemen lain seperti percintaan dan persahabatan serta memaparkan visual keindahan gunung Bromo itu sendiri.
“Gandingan barisan pelakon juga begitu mantap dan serasi antara satu sama lain. Cuma kami berhadapan cabaran apabila keadaan cuaca yang tidak menentu,” ujarnya.
Alur cerita yang bermula apabila Verdy bersama rakan-rakannya iaitu Devon, Sarah, Lia dan Miko yang merancang percutian di sebuah kawasan di gunung Bromo serta menyewa sebuah villa selama lima hari.
Bagaimanapun, setibanya mereka di sana, ternyata keadaan villa berkenaan tidak sama dengan gambar yang diiklankan dalam internet ketika mereka membuat tempahan.
Selain Villa tersebut yang kelihatan aneh dah menyeramkan, mereka mula diganggu beberapa kejadian misteri sejak hari pertama menginap di villa berkenaan.
Diarahkan oleh Arie Aziz, Kutukan Sembilan Setan dibintangi barisan pelakon seperti Ajil Ditto, Denira Wiraguna, Frislly Herlind, Fandy Christian, Joshua Suherman dan Fadhan Holao.
Diedarkan syarikat D’ Ayu Pictures untuk pasaran Malaysia, Kutukan Sembilan Setan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 26 Oktober nanti.