Juara minggu pertama FD3, Zero derma ke tabung Palestin

REZEKI berpihak kepada pelawak, Syaiful dan Sharif Zero apabila dipilih sebagai juara minggu pertama Famili Duo musim ketiga (FD3), sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

Pasangan misteri yang hanya diumumkan sebagai peserta keenam malam tadi itu membawakan lagu dangdut
Ikan Dalam Kolam, Kopi Dangdut dan Dag Dig Dug secara medley.

Menurut Syaiful atau Mohd Syaiful Doli, kemenangan tersebut menyuntik semangat mereka, malah sebahagian wang tersebut ingin disumbangkan kepada tabung Palestin.

Sebenarnya kemenangan ini juga mahu kami kongsi dengan Atu yang membuka laluan kepada kami untuk turut serta dalam pertandingan ini.

“Pada masa sama kami juga sepakat berkongsi kesyukuran dengan menyalurkan sebahagian wang ntuk membantu saudara seagama di Palestin,” katanya pada sidang media selepas FD3.

Persembahan mereka meraih pujian juri, Mas Idayu dan Ajai dengan mendapat markah keseluruhan sebanyak 55.4 peratus.

Selain Syaiful dan adiknya Sharif atau nama sebenarnya Sharif Khadir, 33, pertandingan nyanyian membabitkan selebriti yang mempunyai pertalian saudara itu turut disertai lima lagi pasangan.

Mereka adalah Shila dan Syahir, manakala pasangan adik beradik lain Adira Suhaimi dan Emma Suhaimi serta pensohor media sosial, Ryan Bakery dan Adam Bakery.

Antara duo lain suami isteri, Fuad Rahman dan Tom serta saudara sepupu, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran.

Pada masa sama, Syaiful dan Sharif juga mendapat kelebihan untuk memilih tema iaitu cinta bagi FD3 minggu kedua nanti.

Program yang menyaksikan enam pasangan duo bakal bersaing selama lapan minggu itu menawarkan RM100,000 bagi juara edisi ke tiga ini.

Program lapan episod tersebut menyaksikan pemenang mingguan dipilih bersandarkan pemarkahan juri sebanyak 70 peratus, manakala undian dalam talian melalui Tonton membabitkan 30 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok