[VIDEO] Denzel kekal hebat, The Equalizer 3 kurang sengat

SEBAGAI pengikut francais The Equalizer, penulis meletakkan harapan menggunung buat sekuel ketiganya yang baru sahaja secara rasmi masuk panggung wayang Malaysia, 31 Ogos lalu. 

Pertama sekali, Denzel Washington you’re still the man! Tiada masalah dengan terjemahan karakter ikonik Robert McCall yang diperankannya sedari dua naskhah terdahulu dan termasuk yang terbaharu ini. 

Masalah utama dalam The Equalizer 3 adalah olahan skrip atau penceritaan yang sedikit statik dan terlalu banyak jeda. Agak termanggu-manggu jugalah menonton dan menghabiskan Equalizer 3 minggu lalu. 

Tiada masalah yang besar dengan peranan dibawa Denzel namun fokus permasalahan dalam The Equalizer 3 adalah naratif yang sedikit berbeza berbanding dua filem terdahulu.

Jangan salah sangka, penulis masih sangat menghormati Robert McCall sebagai antara watak vigilante paling ‘cool’, tangkas dan berpengalaman dalam dunia sinematik. Itu masih dicernakan Denzel dengan penuh rasa tanggungjawab. 

Namun, plot atau perjalanan sekuel kali ini perlu dianalisis. 

Pengarah, Antoine Fuqua barangkali sudah kehabisan idea atau mati kutu untuk mengekalkan keagungan dan kehebatan karakter terbabit sejak dua filem terdahulu. 

Berlatarkan bandar Sicily, Itali, Robert mencari ‘keadilan’ tersendiri membantu golongan yang memerlukan kerahan tenaganya di sana. 

Dia semakin menua, namun pada masa sama tetap dengan ideologi bahawa undang-undang adakalanya tidak memberi apa yang sepatutnya kepada segelintir pihak. 

Masih banyak pertumpahan darah berlaku dalam The Equalizer 3

Denzel selaku Robert McCall masih Robert yang memacu perhatian audiens dengan kemurnian hati dan tindakan adil dan terbaik dengan caranya yang tersendiri. 

Kali ini Robert McCall yang diterjemahkan aktor hebat Denzel Washington mencari keadilan dengan cara tersendiri di bandar Sicily, Itali..

The Equalizer 3 masih mengusung DNA daripada dua buah filem terdahulu, namun maaf, kali ini hasilnya dilihat kurang memuaskan. 

Selain plot yang sedikit longgar dan terlalu banyak ‘sembang’, villain (watak jahat) kali ini barangkali yang paling tidak mengesankan. 

Bukan tidak mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan sebaik-baiknya, namun entah mengapa, usai villain utama ditewaskan tidak rasa kepuasan seperti apa yang dirasai dalam dua karya terdahulu. 

Watak Marco Quaranta yang dijayakan Andrea  Dodero terlalu mudah ‘diratah’. Begitu juga dengan penjahat atau mafia utama iaitu abangnya, Vincent lakonan Andrea Scarduzio.

AKTRES Dakota Fanning melakonkan watak ejen CIA bernama Emma yang mempunyai ‘hubungan’ akrab dengan Robert.

Karakter yang dijayakan pelakon jelita, Dakota Fanning, Emma Collins-Plummer yang pada akhir filem didedahkan sebagai seorang yang sangat ‘rapat’ dengan Robert juga tidak dibangunkan dengan seadil-adilnya. 

Satu keluhan yang panjang di kerusi panggung memandangkan Dakota bukan calang-calang pelakon. 

Usai menghabiskan tontonan sekitar 110 minit, penulis hanya mampu berpandangan antara satu sama lain dengan rakan di sebelah sambil ayat ‘itu sahaja’ tercetus dari bibir.

 Bagaimanapun, dari segi perihal teknikal seperti efek bunyi dan sinematografi, The Equalizer 3 masih mengekalkan piawaian saling tidak tumpah seperti dua filem terdahulu.

Satu hal lagi, The Equalizer 3 juga memberi nilai atau pengajaran berguna bahawa walaupun kita pernah melakukan kejahatan, tidak salah rasanya berlaku baik untuk sebuah komuniti. 

Seperti itulah bakti dan jasa Robert kepada komuniti Altamonte.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok