SEMPENA hari Malaysia yang jatuh pada hari ini, sengaja HibGlam menyatukan tiga figura seni iaitu Bell, Tony dan Adira dalam satu bingkai cerita.
Selain impak yang ditinggalkan terhadap kerjaya seni masing-masing, ketiga-tiga figura ini ada garis halus wujudnya serangkai jiwa antara tanah Semenanjung dan kepulauan Borneo.
Bell dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor, Tony (Kuching, Sarawak manakala jauh dari tanah dingin bernama Ranau, Sabah.
Ketiga-tiganya dari tiga kaum berbeza, Adira berdarah Dusun, Tonny (Bidayuh) dan Bell (Melayu) berkongsi cerita menarik selain mengupas tentang perjalanan dan lonjakan kerjaya masing-masing pada sesi fotografi khas di Studio Media Mulia, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Buat Bell yang baru sahaja diwartakan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-35, tiada apa selain ungkapan syukur terbit dari bibirnya saat bercerita tentang bumi keramat bernama Malaysia.
Seperti kata pepatah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Itulah yang menjadi pegangan pemilik nama sebenar, Nasrizal Ngasri itu sepanjang 43 tahun hidup di bumi bertuah ini, seorang anak, suami dan warga seni sejak berusia enam tahun.
“Bukan mahu cakap besar atau kita rakyat Malaysia, tetapi namakan negara di luar sana yang majmuk seperti negara kita dan terus kekal aman, ada? Saya rasa banyak negara cemburu dengan apa yang kita sudah raih selepas 60 tahun pembentukan Malaysia.
“Kita barangkali masih belum mencapai status negara maju (tunggu masa beberapa tahun sahaja lagi), namun semuanya ada di sini.
“Makanan yang lazat, rakyat yang bersatu padu walaupun berbilang bangsa, kaya dengan sumber asli, gunung-ganang, kecanggihan infrastruktur dan banyak perihal penting lain, itu semua kelebihan Malaysia yang tiada pada negara lain,” kata Bell.
Beralih kepada aktor yang pernah aktif di pentas peragaan, Tonny Eusoff pula tersenyum lega mengenangkan susur asal kehadirannya yang masih diterima baik sehingga hari ini.
Tutur jejaka tinggi lampai itu, berjaya memahat populariti sedangkan hadir daripada sebuah kaum minoriti iaitu Bidayuh cukup membanggakan diri sendiri memandangkan tidak ramai mampu memiliki pencapaian tersebut.
“Di Sarawak, terlalu banyak kaum dan setiap daripadanya pula terdapat banyak pecahan. Ramai yang tidak tahu mengenai hal tersebut.
“Sebagai seorang yang lahir dari golongan minoriti, tiada rasa lain yang mampu diungkapkan selain bersyukur kerana meraih peluang membina nama sebagai anak seni sejak usia 19 tahun lalu,” katanya.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.