DARI bangku pengarah sama yang membangunkan filem Rogue One dan Godzilla iaitu Gareth Edwards, karya bertemakan sains fiksyen The Creator adalah perihal terpenting pencinta dunia sinema tidak mahu dan patut lepaskan tahun ini.
Sekitar dua bulan sebelum 2023 menutup kalender, penulis secara peribadi harus akui dan berani melengkapkan kenyataan seawal perenggan kedua ini bahawa, The Creator berdiri sebagai filem terbaik tahun 2023. Atau barangkali antara filem terbaik pernah dihasilkan dekad ini.
Filem berkenaan yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula hari ini (28 September) memaparkan sesuatu yang jarang-jarang ditemui.
Sungguh luar biasa
Dari segi ensemble atau barisan pelakon, teknologi yang digunakan termasuk teknik janaan komputer (CGI), ilmu artificial intelligence (kecerdasan buatan) atau AI, latar tempat dan pelbagai perkara signifikan lain, semuanya dikerjakan dengan begitu luar biasa.
Kalau diri ini mempunyai kudrat untuk ‘menyeret’ semua orang ke panggung untuk menonton, itu pastinya ingin dilakukan kerana The Creator sesungguhnya, top-notch. Filem wajib tonton untuk tahun 2023.
Pertama sekali, peringatan di sini bahawa The Creator tiada kena-mengena dengan galaksi atau universe Star Wars. Filem ini sebuah mahakarya baharu yang berdiri atas ‘kaki sendiri’.
Mengisahkan tentang peperangan masa depan antara bangsa manusia dengan askar AI, itu sepotong ayat berhubung naratif disajikan. Selebihnya, silalah bertandang sendiri ke panggung berdekatan masing-masing.
Mengapa The Creator filem terbaik 2023? Banyak sebabnya. Pertama, seperti apa yang dinyatakan pada perenggan terdahulu, ini adalah naskhah ‘masa depan’.
Banyak babak dipertontonkan dan masa dibelanjakan untuk The Creator membuatkan penulis berfikir: ‘gila betul dunia filem membawa kita ‘mengembara’ zaman sekarang’.
Sebuah karya hebat adalah yang memberi rasa dan membuat audiens lupa akan segala permasalahan dunia dan umpamanya apa yang dilihat pada skrin panggung menderas adrenalin, membuat emosi meronta-ronta serta ‘melopong’ dengan segala teknologi digunakan.
Bukan nukilan atau ulasan berbayar di sini, tetapi itulah sebetulnya apa yang dihidangkan oleh The Creator. Sebuah filem sains fiksyen yang memberi rencam rasa.
Bab terjemahan karakter, John David sebagai watak utama Joshua, anda memang pelakon luar biasa. Dia adalah antara sebab mengapa filem begitu berhasil kemenjadiannya.
Oh, Madeleine Yuma Voyles!
Begitu juga dengan energi yang dicernakan Gemma Chan . Namun, apa yang mencuri tumpuan adalah permainan karakter pelakon cilik bernama Madeleine Yuma Voyles sebagai Alphie.
Lakonan yang dijayakan pelakon cilik itu sangat natural dan berseni. Mata ‘berkaca’ menjelang babak akhir atau klimaks penceritaan. Kenapa? Antara sebabnya adalah kerana Alphie yang dijayakan Madeleine.
Banyak perihal lain yang ingin didendangkan dalam ulasan ini, namun tidak akan pernah cukup keratan.
Lokasi atau latar tempat filem juga adalah apa yang mencuri tumpuan. Audiens akan lihat filem ini bukan sekadar satu cabang seni yang terpampang di layar perak, dampaknya lebih meluas.
Produksi membawa audiens ‘mengembara’ ke banyak negara seperti Thailand, Cambodia, Nepal, Jepun dan Indonesia. Juga, bahasa Melayu juga menjadi antara dialog dilontarkan dalam filem terbabit. Terkejut sebentar ketika perihal itu berlaku di panggung.
Markah A+ buat The Creator. Tidak sepatutnya dibiarkan ‘berlalu’ sahaja di panggung.
Kalau sudah tonton sekali, tontonlah buat kali berikutnya kerana bahawasanya, filem hebat itu berhak menerima ‘layanan’ sewajarnya. Bravo! – HIBGLAM