Sudah empat tahun saya bercerai – Ruhil Amani

MENGOTAKAN janjinya untuk memaklumkan status sebenar perkahwinan dengan pemuzik Jamil Wilson, penyanyi terkenal era 90-an, Ruhil Amani tampil mengesahkan mereka sudah bercerai pada Mei 2019.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Kawan itu, dia mengambil pendekatan merahsiakan perkara itu bagi menjaga  kesihatan mental dua anaknya yang pada ketika itu bakal menduduki peperiksaan.

“Di sini saya ingin memaklumkan dan mengesahkan yang saya dan bekas suami saya sudah bercerai pada Mei 2019.

“Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan kepada semua pihak terutama orang luar kerana mahu melindungi anak kami.

“Ariana yang ketika itu berumur 15 tahun akan menduduki peperiksaan penting manakala adiknya, Raayan baru berusia lapan tahun.

“Saya cuma mahu memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu kerana perceraian buat sesiapan pun tidak akan pernah adil buat anak-anak,” katanya.

Sambung Ruhil lagi, berikutan ramai bertanya status perkahwinannya dengan Jamil, dia nekad berkongsi perkara sebenar selepas berbincang dengan anak-anak.

“Selepas berbincang dengan anak-anak, saya rasa sudah sampai masanya saya maklumkan yang kami bukan lagi suami iseri sejak empat tahun lalu.

“Situasi ini melibatkan kehidupan anak-anak, jadi diharap kenyataan saya pada hari ini dapat merungkai segala tanda sekali gus mengelakkan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.

SEBAGAI ibu, Ruhil sentiasa meletakkan dua anaknya, Ruhil Ariana Wilson dan Raayan Alexander sebagai keutamaan.

Menurut Ruhil, 48, sebagai anak seni dia akur untuk berkongsi kisah peribadi kepada umum namun enggan berkongsi lanjut punca perceraian.

“Punca penceraian tidak perlu saya nyatakan di sini. Kalau boleh cukuplah sekadar keluarga dan teman rapat sahaja yang tahu.

“Lagipun, perkara ini sudah lama berlalu. Sudah takdir jodoh kami setakat itu sahaja.  Saya dan anak-anak reda dengan percaturan Allah.

“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan semua, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa ini.

“Saya juga sangat bersyukur kerana dianugerahkan anak-anak yang baik, kuat dan matang daripada usia sebenar mereka,” luahnya.

Pada masa sama, pemilik nama penuh Ruhil Amani Hussain itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak kerana memahami situasinya yang terpaksa merahsiakan perkara itu sebelum ini.

“Terima kasih kepada teman media yang saya hormati kerana memberi ruang buat saya dan anak-anak, memahami perasaan dan tujuan saya melindungi Ariana dan Raayan.

“Malah, teman media juga tidak menulis atau memaklumkan kepada umum walaupun sudah bertahun-tahun sebenarnya mereka tahu tentang penceraian ini,” katanya lagi.

Ruhil mendirikan rumah tangga dengan Jamil yang juga pemuzik asal Australia pada2003 dan dikurniakan dua zuriat iaitu Ruhil Ariana Wilson, 19 dan Raayan Alexander Wilson, 12 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok