PENYANYI, Liza Hanim menegaskan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM300,000 yang diterimanya bagi mengadakan konsert tidak sepatutnya menjadi pertikaian.
Ujar Liza atau nama lengkapnya Haliza Hanim Halim, 44, sebagai rakyat Malaysia bergelar anak seni, dia juga berhak membuat permohonan dan menerima sebarang bentuk bantuan yang diberikan pihak kerajaan.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya juga berhak. Saya sudah terlibat dalam industri seni lebih 20 tahun. Jadi, apa salahnya saya mohon.
“Saya bukan dapat begitu sahaja. Banyak proses yang perlu dilalui. Saya hantar kertas kerja dan ‘turun padang’ ketika sesi pembentangan permohonan dilakukan.
“Lagipun, sesiapa sahaja layak mohon dana ini. Dapat atau tidak, itu semua terpulang pada rezeki masing-masing ,” ujar pelantun lagu Gelisah Mimpi itu kepada HibGlam.
Dalam pada itu, Liza yang ditemui ketika sidang media usai konsert minggu pertama All Stars Gegar vaganza musim ke-10 (GV10) malam tadi tidak ketinggalan berkongsi mengenai perancangan menganjurkan konsert solo pada tahun hadapan.
“Sudah lama saya bercita-cita menganjurkan konsert solo. Mungkin ini rezeki saya untuk merealisasikannya.
“Saya bersyukur semuanya dipermudahkan dan peluang terbentang luas untuk mengadakan konsert sendiri,” katanya.
DKD yang diperkenalkan pada April 2015 di bawah Rancangan Malaysia ke-11 adalah kesinambungan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang dilancarkan pada 2021.
Dana tersebut bertujuan memperkemaskan dan mempermudahkan penyaluran dana-dana berkaitan industri kandungan kreatif.
DKD diperuntukan di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan DKD Industri Muzik dilaksanakan oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. – HIBGLAM