Nourul Depp dedah 10 bulan tak jumpa Ayu Nazirah

KECOH kontroversi perang dingin dengan anak perempuan sulungnya, Ayu Nazirah, penyanyi Nourul Depp menganggap situasi tersebut sebagai dugaan seorang ibu.

Katanya, resam anak muda mahu mengikut fikiran sendiri dalam melakukan semua perkara, namun sebagai insan yang melahirkan dia perlu menitipkan nasihat.

Enggan puteri yang berusia 25 tahun itu tersasar langkah, panduan serta doa dititipkan berikutan mereka tinggal berjauhan iaitu dia di Bali, Indonesia, manakala anak gadis yang disapa  Ayu berada di Kuala Lumpur.

“Sebagai ibu bapa memang setiap saat kita risaukan anak kita, lebih-lebih lagi anak sulung yang kita tatang bagai minyak yang penuh.

“Tapi bak kata pepatah Perancis, anak kecil dugaan kecil, anak besar dugaan juga besar, yang perlu kita hadapi walau dalam apa jua keadaan,” katanya dalam perkongsian video Instagram.

Dalam perkongsian tersebut, penyanyi yang berhijrah ke pulau peranginan di Indonesia sejak tahun lalu itu mengakui bahawa hubungan dengan Ayu mula berantakan sejak Disember tahun lalu.

Begitupun, situasi masih terkawal hingga sekitar Mac lalu apabila keadaan turut menjejaskan rumah tangga dengan suaminya, Eric Depp.

“Saya tahu kena buat sesuatu selepas hal dengan Ayu membuatkan saya jadi emosi serta bertengkar dengan suami sedangkan sepanjang tempoh berkahwin kami jarang bergaduh.

“Bagi yang ikuti laman sosial saya tentu perasan sebab adakalanya saya luah dalam Instagram tetapi bukanlah nak memburukkan sesiapa atau sebut pihak ketiga.

“Memang kami tak berjumpa sejak 10 bulan lalu, namun kini saya sudah bertenang cuma ketika ‘post’ berkenaan ulang tahunnya tempoh hari saya agak sayu.

“Sebagai emak tentu kita ingin anak yang kita lahirkan sentiasa sejahtera. Saya akui ada silap saya, jadi Ayu pun buat silap juga,” luahnya.

Punca pergaduhan

Begitupun, ibu kepada empat cahaya mata itu enggan mendedahkan butiran lanjut punca permasalahan antara mereka, sebaliknya meminta orang ramai jangan lagi menyebarkan spekulasi.

Malah, Nourul atau nama lengkapnya Noorulhuda Abdul Wahab, 46, menegur pihak yang sengaja menjadikan kisah mereka sebagai bahan sensasi.

“Saya tahu daripada seorang rakan yang mengajukan cerita kami di laman sosial sejak awal tahun lagi. Macam-macam kisah tambahan timbul.

“Daripada fitnah, lebih baik buat perkara lain. Lebih baik doakan semuanya baik-baik saja,” ulas penyanyi yang turut menyatakan berkongsi perihal anak melihatkan ramai ibu lain berhadapan hal serupa.

Pada masa sama, Nourul bersyukur apabila Ayu turut mendapat kasih sayang melimpah daripada kedua-dua belah keluarga sama ada dirinya dan keluarga bekas suami, Ajai.

Sayangi Ayu sepenuh jiwa

Cuma akuinya, cara didikan mungkin sedikit berbeza kerana dia seorang ibu yang sangat tegas, terutama dari segi pergaulan dan bersosial.

“Orang kata anak yang ada dua emak dan dua ayah bertuah. Memang Ayu bertuah kerana ayahnya cukup memanjakannya, manakala ibu tirinya juga menjaga Ayu dengan baik sejak dahulu lagi.

“Eric juga sangat sayangkan Ayu, dan mendidiknya untuk jadi insan kental, begitu juga saya,” ujarnya yang turut menegaskan menyayangi anak gadisnya  dengan sepenuh jiwa raga.

Terdahulu, perkongsian Nourul tentang pengalaman dirinya melahirkan Ayu mengundang pelbagai reaksi  berikutan kenyataan dirinya ‘mati’ semasa membesarkan gadis itu.

Ayu merupakan zuriatnya bersama Ajai, namun mereka berpisah pada 2007 dan lima tahun kemudian penyanyi itu bertemu jodoh pula dengan warga Perancis, Eric Daniel Depp.

Menerusi perkahwinan kedua, kehidupan Nourul diserikan tiga cahaya mata, Zachary Depp, 10, Raphael Depp, 8, dan Isabella Depp, empat tahun.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok