Noh Salleh ‘tayang’ baju nikah

BAKAL bernikah pada 23 September ini, penyanyi Noh Salleh dilihat teruja menanti detik disatukan dengan wanita pilihannya, Fatin Athirah Mustapa apabila memuat naik baju pengantin.

Begitupun, pemilik nama sebenar Mohammad Noh Salleh itu tidak menyertakan sebarang perincian mengenai busana pengantin rona putih, namun perkongsiannya menunjukkan perasaan melangkah semula ke gerbang perkahwinan.

Vokalis kumpulan Hujan itu tampak terbuka berkongsi persalinan istimewa yang tertera namanya dan Athira Mustapa pada penyangkut kedua-dua busana tersebut.

Lebih menarik, jelas tertulis tarikh 23 September pada penyangkut baju itu sebagai bukti tarikh hari bahagia mereka seperti didedahkan Kosmo! Online sebelum ini.

Menurut sumber, busana perkahwinan Noh dan Athirah yang juga peguam itu merupakan rekaan daripada butik berjenama Fidae.

Susulan itu, perkongsian terbabit meraih respons netizen yang rata-rata mengucapkan tahniah selain mendoakan pasangan tersebut berbahagia sehingga ke akhirnya.

“Tahniah Noh dan Athira, moga menjadi pasangan yang saling melengkapi antara satu sama lain,” komen seorang netizen.

Wah, turut tumpang bahagia untuk Noh, tiada apa yang saya mampu doa selain sebagai peminat selain mendoakan yang terbaik untuk awak berdua,” demikian komen seorang peminat.

Noh melangsungkan pertunangan dengan wanita berusia 30 tahun itu pada 7 Mei lalu.

Sebelum ini, penyanyi merangkap komposer itu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Mizz Nina atau Shazrina Azman, 40, pada 2 Julai 2011, namun bercerai awal Ogos tahun lalu.

Pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata tetapi memiliki seorang anak angkat, Musa yang diperkenalkan kepada umum sekitar April tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok