LEBIH sedekad memahat nama sebagai pelakon sejak 2011, nama Nazeera Sardi nampaknya masih di tahap ‘sekadar ada’.
Mungkin dek terlalu bersih daripada kontroversi, Nazeera atau nama lengkapnya Siti Nazirah Sardi tidak pernah ambil pusing atau terasa hati apabila kurang diperkatakan khalayak.
Wanita kelahiran Gemencheh, Negeri Sembilan itu bagaimanapun bersyukur apabila jalan karier seni tetap didatangi tawaran drama atau filem.
Terbaharu, Nazeera teruja apabila bakal muncul dalam sebuah filem berdasarkan kisah benar berjudul Pagari Bulan memegang peranan utama sebagai Bulan.
Kata Nazeera, naskhah mengisahkan kekejaman tentera Jepun sewaktu penjajahan Tanah Melayu tersebut memberi cabaran besar buat dirinya sebagai pelakon kerana perlu sepenuhnya bertutur dalam dialek Kelantan.
“Dalam Pagari Bulan, saya memegang watak Bulan, gadis kampung yang menetap di Kelantan.
“Cabarannya saya perlu bertutur dalam dialek Kelantan. Jujur, saya memang tidak tahu langsung bertutur dalam dialek Kelantan dan berusaha keras untuk membawakan watak Bulan,” ujar Nazeera.
Kata pelakon berusia 37 tahun itu, keyakinan Raja Mukhriz yang bertindak sebagai pengarah meyakinkan dirinya untuk menyahut cabaran tersebut.
“Terus terang, awalnya saya memang saya tidak yakin untuk membawakan watak Bulan.
“Saya orang Negeri Sembilan, tapi perlu bertutur dalam dialek Kelantan.
“Tapi pengarah, Raja Mukhriz seboleh-bolehnya mahu saya memegang watak itu dan memberi keyakinan bahawa saya boleh lakukannya,” kata anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik itu.

NAZEERA belajar sendiri cara untuk bertutur dalam dialek Pantai Timur itu sendiri di rumah.
Memandangkan pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Jiwa & Lara itu telah terlepas untuk mengikuti kelas dialek Kelantan atas kekangan masa, dia perlu belajar sendiri cara untuk bertutur dalam dialek Pantai Timur.
“Saya kena belajar sendiri di rumah untuk bertutur dalam dialek Kelantan. Mujur saya ada kenalan orang Kelantan yang memang loghatnya cukup pekat.
“Dia datang ke rumah saya dan kami sama-sama belajar. Mula-mula memang rasa pelik dan janggal. Tapi lama-lama saya rasa dialek Kelantan itu menarik dan seronok untuk dituturkan sebenarnya,” jelasnya yang turut gementar apabila terlibat dengan babak rogol dalam Pagari Bulan.
Menganggap watak gadis kampung Kelantan itu sebagai satu peluang keemasan, Nazeera yang memiliki wajah kemelayuan berharap lakonannya dalam Pagari Bulan akan meninggalkan kesan besar terhadap perjalanan karier seninya kelak.
“Mungkin kedengaran agak klise. Namun saya menyimpan hasrat besar supaya filem ini dapat memperkenalkan nama saya dalam industri.
“Apa-apa pun, saya percaya kepada rezeki. Apa yang paling penting, setiap naskhah yang saya lakonkan, saya akan berikan yang terbaik,” jelasnya.