Min Yasmin bersalin bayi pramatang 800 gram

PENYANYI, Min Yasmin berdepan pengalaman cemas apabila terpaksa dikejarkan ke bilik pembedahan dan terpaksa melahirkan bayi pramatang ketika kandungannya baru mencecah usia 30 minggu, 16 September lalu.

Kata isteri kepada komposer Julfekar itu, zuriat yang ditunggu selama 10 tahun bagaimana berada dalam keadaan sihat namun perlu ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) bagi pemantauan berikutan kelahiran pramatang.

“Alhamdulillah, penantian cahaya mata setelah 10 tahun mendirikan rumahtangga akhirnya dimakbulkan. Saya selamat melahirkan seorang bayi lelaki dengan berat 800 gram pada Hari Malaysia, pukul 7.49 malam.

“Saya telah dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah dengan ambulans kerana tekanan darah tinggi yang tak terkawal.

“Setelah berbincang, bagi mengelakkan keadaan semakin buruk memandangkan degupan jantung bayi semakin lemah, saya dibedah dengan serta-merta,” katanya kepada Kosmo! Online

Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 34, turut meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan permata hatinya itu.

“Mohon doakan keselamatan dan kesihatan sepenuhnya bayi pramatang kami yang dilahirkan ketika usia kandungan masih sekitar 30 minggu atau tujuh bulan setengah.

“Moga anak kami ini mampu membesar sihat seperti anak-anak lain serta menjadi seorang anak yang soleh dan membawa kebaikkan kepada agama, bangsa dan keluarga” katanya.

Sekitar Jun lalu penyanyi lagu Masi Malasa itu berkongsi berita gembira menerusi paparan video kit ujian kehamilannya yang ketika itu mencecah empat bulan.

Min mendirikan rumah tangga dengan Julfekar pada 5 April 2014. Menerusi perkahwinan terdahulu, suaminya mempunyai empat anak serta tujuh cucu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok