MASIH dalam proses pemulihan, pelakon dan pengarah, Yana Samsudin mendedahkan impak Influenza A lebih dahsyat berbanding jangkitan Covid-19.
Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, mereka sekeluarga termasuk suaminya, Fadzil Zahari berdepan simptom kesakitan dua kali ganda terutama pada bahagian sendi.
“Ya Allah, sakitnya lebih teruk daripada Covid-19. Sakit kepala, gigi, sendi dan semuanya.
“Nasib ketua rumah (suami) tak buat hal, kalau tidak, bertambah pulak sakit hati kita ni,” tulisnya dalam Instagram.
Menerusi hantaran berkenaan, Yana atau nama sebenarnya Nurliana Samsudin, 39, mendedahkan dua anak mereka, Aisy Mateen, tujuh tahun dan Aura Aisy Sofiea yang berusia tiga tahun lebih dahulu dijangkiti virus itu.
“Itulah Yana dah pesan dengan anak-anak, kalau nampak ada orang demam, lari saja dan jangan main dengan dia tapi mereka main juga.
“Dah terbaring dua beradik kena Influenza A, seminggu kuarantin.
“Yana pula sudah cuba asingkan tempat tidur. Rajin pula budak dua orang ni datang melawat mommy dah berjangkit pula kat kita,” tulisnya lagi.
Pengarah Selamat Pagi Cinta itu turut meluahkan rasa syukur apabila suaminya, masih diberikan kudrat menjaga mereka sekeluarga.
“Dia yang paling stabil memandu beratus kilometer pergi Lumut, kemudian ke Pulau Pinang, Yong Peng dan balik ke Shah Alam semula.
“Malamnya dia bawa Mateen pergi klinik, esoknya pula hantar Yana dapatkan rawatan.
“Kami balik rumah dah tumbang tetapi dia ke pejabat lagi, petang barulah nampak dia lesu.
“Balik pejabat mandi selepas itu berselera pula makan, orang sakit patutnya tak selera makan,” kongsinya lagi.
Sekitar Mac lalu Yana pernah dijangkiti Influenza dan dimasukkan ke hospital, manakala pada Ogos 2021, 12 ahli keluarganya disahkan positif Covid.19. – HIBGLAM