SEBAGAI seniman yang terlibat dalam bidang muzik, vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani memasang impian untuk melihat kualiti pemuzik orkestra di Indonesia memiliki mutu setaraf dengan kehebatan kumpulan orkestra di Malaysia.
Hasrat tersebut disuarakan Ahmad Dhani selepas melihat persembahan pasukan orkestra Malaysia yang akan mengiringi konsert Dewa 19 A night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada malam esok.
“Sebagai seorang yang boleh dianggap pakar dalam bidang muzik, selepas melakukan latihan, saya dapati kualiti orkestra Malaysia lebih bagus berbanding orkestra di Indonesia.
“Jika di sana, ahli orkestra selalunya orang berasal Indonesia. Tetapi di sini ahlinya terdiri pelbagai negara,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbat dan sesi latihan konsert tersebut di Axiata Arena di sini, hari ini.
Pada masa sama, Ahmad Dhani juga berharap muzik orkestra akan dapat berkembang dan diterima baik di Indonesia seperti di negara-negara lain.
“Dengan orkestra kita membawa budaya baharu di Jakarta peminat muzik di sana masih dalam proses untuk menerima.
“Pasukan orkestra Indonesia belum lagi di tahap dibiayai oleh kerajaan seperti di Malaysia, harapnya akan ada,” katanya.
Pada konsert yang akan berlangsung esok, Dewa 19 akan menyampaikan 34 buah lagu ternasuk Sedang Ingin Bercinta, Kangen dan Elang, diiringi 54 pemuzik orkestra Malaysia.
Konsert yang juga dinamakan sebagai bahagian kelima tersebut akan menonjolkan sisi lain kumpulan asal Surabaya, Indonesia itu.
Menjawab kerisauan ramai mengenai konsep konsert yang dianggap lebih formal berbanding sebelum ini, dia percaya peminat Dewa 19 tetap akan berseronok dengan persembahan mereka esok.
“Jika penonton tidak bergoyang (menari), tidak bermaksud mereka tidak menikmati.
“Ada beberapa lagu kami yang memerlukan penghayatan dan tidak perlu bergoyang jika ingin berseronok pun,” katanya.
Kali terakhir Dewa 19 mengadakan konsert di Malaysia adalah menerusi Konsert 30 Years of Dewa 19 pada 9 dan 10 September tahun lalu di lokasi sama. – HIBGLAM