KOLABORASI bersama band Indonesia, ST12 menerusi single Harapan Tak Kunjung Usai menjadi pembuka jalan buat Hazama menembusi pasaran muzik negara seberang.
Menyifatkan rezeki itu hadir tepat pada waktunya, Hazama berpeluang merakamkan lagu terbabit di studio di Bandung, Indonesia buat pertama kalinya.
“Aturan Allah itu sangat cantik. Dulu ketika saya berusia awal 20-an syarikat pengurusan ada menyusun rancangan masuk pasaran Indonesia, tetapi kemudian senyap begitu saja.
“Ada bagusnya tergendala sebab waktu itu saya terlalu hijau, manakala sekarang aspek persediaan mental, saya matang untuk berdepan cabaran terutama dalam usaha melangkah ke arena lebih luas.
“Kiranya kolaborasi ini datang pada masa yang tepat. Sekecil-kecil peluang adalah langkah yang memungkinkan lebih banyak ruang menembusi pasaran muzik di sana.
“Dengan lebih 200 juta penduduk, peluang untuk saya meraih pencapaian membanggakan di sana lebih tinggi,” katanya selepas pelancaran Harapan Tak Kunjung Usai, baru-baru ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah anggota kumpulan asal Bandung itu, Ilham Febry atau Pepep yang juga komposer lagu tersebut serta pemain basis, Indra Gunawan.
Berkongsi pengalaman sepanjang rakaman, pelantun lagu Relakan Jiwa itu memaklumkan Harapan Tak Kunjung Usai dpat disempurnakan dalam tempoh empat jam, disusuli penggambaran muzik video pada keesokkan harinya.
Malah, secara peribadi dia juga berbesar hati apabila single hasil paduan antara mereka meraih maklum balas positif sebaik dilancarkan pada 5 September lalu.
“Sebelum menerima tawaran, saya ambil masa seminggu juga untuk mendengar dan menjiwai lagu tersebut kerana masih ingin kekalkan identiti genre dibawa.
“Syukur apabila difahamkan pendengar muzik di Indonesia mula cari katalog lagu saya sebelum ini selepas Harapan Tak Kunjung Usai diperkenalkan dan berkumandang di radio.
“Saya juga dimaklumkan berikutan sambutan baik khalayak, selepas ini akan ada single kedua pula,” katanya mengenai kerjasama antara Luncai Emas milik komposer Datuk M. Nasir dengan syarikat rakaman PT. Dua Suara Medan itu. – HIBGLAM