Gara-gara bimbang disangka sakit kerana memiliki bentuk tubuh terlalu kurus, penyanyi Khai Bahar mengambil langkah dengan membina badan supaya kelihatan lebih berotot dan sihat.
Ujar penyanyi berusia 29 tahun itu, sebelum ini dia gemar melakukan aktiviti berjoging sehingga menyebabkan berat badannya turun dengan banyak sehingga membuatkan dirinya sendiri berasa bimbang.
“Sebelum ini memang suka berjoging tetapi apabila berat badan turun dengan mendadak, orang ingat saya sakit.
“Saya sendiri risau sehingga fikir yang bukan-bukan. Namun sejak lapan bulan lalu, saya mula aktif ke gimnasium untuk membina otot dan menambah berat badan,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Hasilnya, selepas lapan bulan giat bersenam di gimnasium, bentuk tubuh pemilik nama lengkap Muhammad Khairul Baharuddin itu semakin tegap dan berotot selain berat badan juga bertambah daripada 63 kilogram (kg) menjadi 70kg.
Disoal sama ada Khai selesa atau tidak jika gambar-gambarnya sewaktu bersenam di gimnasium, digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti tidak bermoral, pelantun Luluh itu berkata dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang atas perkara tersebut.
“Ada ke yang guna gambar saya? Kalau rasa keterlaluan, saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang.
“Tapi setakat ini belum jumpa lagi pihak yang menyalahgunakan gambar-gambar saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khai juga tidak mahu terlalu ambil pusing dengan usikan nakal peminat apabila meninggalkan komen-komen nakal terhadapnya kerana menganggap perkara tersebut hanya sekadar gurauan.
“Tentang usikan nakal, saya ambil yang positif sahaja. Anggap mereka sekadar bergurau, tak ada niat lain pun.
“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak ada menerima komen yang aneh-aneh daripada peminat. Malah, ramai yang teruja dan terkejut dengan perubahan bentuk fizikal saya,” jelasnya.
Khai yang ditemui ketika sidang media pelancaran single Pejam, duet bersama Adira Suhaimi di Hotel Tamu, di sini, turut berkongsi rasa teruja apabila impiannya untuk berduet bersama Adira, akhirnya tercapai.
Lebih membuatkan Khai teruja apabila single Pejam yang dicipta oleh komposer Audi Mok dan Shazee hanya dirakam dengan sekali ‘record’ sahaja.
“Saya memang sudah lama memasang impian untuk berduet dengan Adira. Sebelum ini saya sering menyanyikan lagu Ombak Rindu nyanyiannya bersama Hafiz Suip.
“Tapi kali ini, impian saya akhirnya termakbul. Semoga lagu ini mendapat sambutan baik daripada pendengar,” ujar Khai. – HIB GLAM