Anak Perjanjian Syaitan 2 uji Ahmad Idham

KALI terakhir duduk di kerusi pengarah lima tahun lalu, Ahmad Idham kini kembali menuntun kecintaannya sebagai sutradara menerusi naskhah layar perak, Anak Perjanjian Syaitan 2.

Biar sebelum ini bergelut dengan kesibukan menyambung pengajian dan tugasan rasmi kemudian percubaan menjadi politikus, dunia pengarahan tetap subur di jiwanya.

“Kali terakhir saya sempat mencuri masa duduk di kerusi pengarah adalah menerusi drama Spanar Jaya X sekitar 2019 dan setahun sebelum itu filem Hantu Wangan.

“Bukan tiada tawaran, cuma tempoh itu saya dedikasikan untuk Ijazah Kedoktoran Pengurusan (PhD) serta tugasan lain termasuk kerja kemasyarakatan menerusi politik,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran Anak Perjanjian Syaitan 2 di Hulu Klang baru-baru ini.

AHMAD Idham mengakui naskhah Anak Perjanjian Syaitan 2 menguji ketelitiannya sebagai sutradra.

Katanya, filem yang diinspirasikan daripada cerita benar tersebut menggabungkan isu keagamaan dan elemen mistik.

Ahmad Idham mengakui cabaran getir dilalui bagi merealisasikan babak seram yang sarat emosi bagi menterjemahkan kerakusan manusia dalam mengejar duniawi.

“Memang Anak Perjanjian Syaitan 2 menguji ketelitian saya dalam kerja pengarahan apabila menyelitkan banyak babak di luar kotak yang saya sendiri berhadapan beberapa kekangan.

“Berbeza genre drama atau romantik, kisah seram ini turut digabungkan dengan aksi hingga memerlukan adegan kemalangan bagi memberi kesan dramatik.

“Apabila memasukkan unsur ritual dan agama, kita juga pastikan jangan berlebihan dalam supaya tidak mencetuskan polemik serta menjaga sensitiviti,” katanya.

Selain di Kemensah, filem terbitan Grand Briliiance Studio tersebut turut beralih ke kawasan perkelahan tepi sungai di Hulu Langat yang dikelilingi hutan menghijau sebagai lokasi penggambaran.

Katanya, aura keheningan suasana hutan juga memberi latar istimewa buat kisah lakonan bintang sensasi seperti Eyka Farhana Fasha Sandha dan Alif Satar itu.

“Cabaran lain yang perlu saya hadapi adalah memastikan sentuhan saya terus relevan dan diterima ramai.

“Saya percaya selain skrip yang kuat, penampilan barisan pelakon hebat juga memberikan impak, menarik penonton ke pawagam.

Antara babak filem Anak Perjanjian Setan 2 yang dilakukan di Kemensah.

Kongsi pengarah Mr. Cinderella itu, sentuhan terbaharunya itu merupakan kesinambungan daripada Anak Perjanjian Syaitan yang ditayangkan pada 2019.

Ketika itu, Idham bekerjasama dengan Helmi Yusof sebagai pengarah bersama berikutan kesibukannya dengan tugas-tugas rasmi yang lain.

“Waktu itu saya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), jadi saya hanya letakkan nama Helmi.

“Saya terpaksa berbuat demikian bagi mengelak sebarang isu berkaitan konflik kepentingan peribadi, walaupun penggambaran telah selesai sepenuhnya sebelum pelantikan berkenaan,” kata pengarah berusia 49 tahun itu,

Bercakap tentang penggambaran yang dijalani di kawasan hutan serta mempunyai babak mistik, pasukan produksi turut meminta bantuan pakar agama sebagai penasihat.

“Pelbagai perkara perlu dititikberatkan supaya kita tidak sampai melakukan perkara yang boleh menjejaskan akidah ketika berkarya.

“Malah bekerja dengan mereka yang profesional juga melancarkan tugasan kerana masing-masing tahu menjaga mulut dan adab ketika di tengah hutan,” ujarnya.

Anak Perjanjian Syaitan 2 mengisahkan seorang gadis, Azlinda lakonan Eyka Farhana yang mengalami pelbagai peristiwa pelik sehingga mendorongnya menjejaki susur galur keturunannya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok