Altimet angkat sumpah, berazam jaga DUN Lembah Jaya

MENGANGKAT sumpah secara rasmi sebagai wakil rakyat hari ini, penyanyi rap, Altimet berjanji akan memastikan kebajikan penduduk Lembah Jaya terjaga.

Menurut pemilik nama penuh Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 45, tanggungjawab yang digalas ketika ini sangat besar namun sebagai wakil rakyat, dia akan berusaha memastikan segala keperluan serta harapan rakyat di kawasan tersebut dapat direaliasikan.

“Seperti ada satu tanggungjawab besar terletak atas bahu ini.

“Bagaimanapun semua itu bukan alasan untuk membalas budi kepada mereka yang sudah mengundi saya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu,” katanya.

Dalam masa sama, pelantun lagu Amboi itu akan terus menyantuni penduduk sekitar Lembah Jaya bagi mengenal pasti setiap permasalahan yang dihadapi sehingga hari ini.

“Harap dapat berkomunikasi dengan warga Lembah Jaya dengan lebih baik dan saya serta pasukan ketika ini sedang mengumpul maklumat sebelum betul-betul turun padang.

“Tumpuan utama kami ialah untuk kes kebajikan asnaf, pembangunan infrastruktur dan juga penambahbaikan fasiliti pusat pendidikan di sekitar Lembah Jaya.

“Apapun, saya yakin dengan kebolehan pasukan pejabat khidmat Lembah Jaya,” ujarnya.

Hari ini, Altimet mengangkat sumpah sebagai (ADUN) Lembah Jaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-15 pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

Pada 12 Ogos lalu, Altimet menang dengan majoriti 6,707 dan memperoleh 26,116 undi mengalahkan pencabar terdekatnya Sharifah Haslizah Syed Ariffin dari Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 19,409 undi bagi kerusi DUN Lembah Jaya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok