5 artis lelaki setia tanpa zuriat ‘benih’ sendiri

KEHADIRAN zuriat dalam sesebuah rumah tangga merupakan satu rezeki yang ditunggu-tunggu setiap pasangan suami isteri, terutamanya yang sudah lama berkahwin.

Namun tidak semua pasangan yang bertuah menerima cahaya mata. Ada yang masih menunggu, ada juga yang sudah reda dengan ketentuan Ilahi.

Tidak kurang juga terdapat segelintir lelaki menggunakan ‘kekurangan’ sebegitu untuk berlaku curang dan berpoligami.

Namun, ramai juga yang menerima takdir dan terus menjalani kehidupan berdua meski tanpa kehadiran zuriat.
Gala minggu ini menyenaraikan lima selebriti, selayaknya menjadi ikon setia biarpun belum dikurniakan anak.

1. Achey

Pelawak terkenal Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 37, dan isteri, Nor Hasanah Yahaya, sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.

Pasangan itu membuat keputusan mengambil anak angkat perempuan, Nor Tiarah Zinnirah pada tahun 2018 yang kini sudah berusia lima tahun.

Nor Hasanah atau lebih mesra disapa Ana juga pernah menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) tahun lalu, namun tidak berjaya.

Biarpun belum lagi diberikan rezeki menimang cahaya mata sendiri, Achey juga menganggap poligami bukan jalan penyelesaian untuk memiliki anak.

2. Beto Kusyairi

Pelakon popular, Beto Kusyairi akur belum diberikan rezeki anak dalam perkahwinannya bersama, Tisha Sahar yang kini sudah berusia 15 tahun.

Tidak menyalahkan takdir, Beto, 43, berkata, dia dan isteri sudah melakukan pelbagai usaha, termasuk rawatan Islam, tradisional dan moden untuk mendapatkan zuriat.

Kendatipun, Beto atau nama sebenarnya, Nur Kusyairy Zakuan Osman bersyukur masih dikurniakan rezeki lain, termasuk kesihatan yang baik dan kasih sayang yang kuat antara mereka suami isteri.

Bintang Mat Kilau itu bagaimanapun reda andai tidak dikurniakan cahaya mata, malah belum ada perancangan untuk mengambil anak angkat.

Dia juga bersyukur keluarga kedua-dua pihak sangat memahami dan tidak pernah mengajukan soalan berkaitan zuriat.
Beto dan isteri mendirikan rumah tangga pada tahun 2008.

3. Izzue Islam

SEPULUH tahun mendirikan rumah tangga, pelakon juga pengacara, Izzue Islam dan isterinya Awin Nurin reda masih belum dikurniakan zuriat.

Mencecah usia 32 tahun, Izzue menganggap kehidupan tanpa anak tidak mengurangkan kebahagiaan dalam kehidupannya sebagai suami.

Dia juga masih mempertimbang untuk mengambil anak angkat berikutan kebimbangan tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

Meskipun belum dikurniakan zuriat, Izzue mengakui, tidak pernah terdetik untuk berkahwin lain.
Katanya, poligami bukan penyelesaian masalah sebaliknya punca segala kesulitan dalam kehidupan.

4. Mark Adam

Hampir 20 tahun melayari kehidupan berumah tangga, penyanyi Mark Adam masih menanti kehadiran cahaya mata sebagai penyeri dalam perkahwinannya bersama Nor Azah Redzuan.

Bagaimanapun, Mark berkata, kasih sayang terhadap isterinya tidak berkurangan biarpun tanpa kehadiran zuriat.

Dia percaya, rezeki tersebut akan datang pada waktu yang tepat dan enggan isterinya berasa tertekan sehingga menjadi punca pergaduhan disebabkan isu anak.

“Masa bernikah dengan isteri, saya sudah berjanji di dalam masjid dan hadapan Tuhan untuk jaga dia. Saya pegang perjanjian itu,” ujarnya.

5. Arash Mohamad

‘Setiap hari bulan madu’, itu kata pelakon Arash Mohamad, 53, yang masih belum dikurniakan cahaya mata selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Arash dan isterinya, Noor Afidahwati Mohammad, 43, sentiasa berfikiran positif menganggap ujian dalam perkahwinan mereka ada hikmah tersendiri.

Dia juga tidak pernah berkecil hati dengan pertanyaan orang sekeliling mengenai soal anak.

Dramatis hebat juga sememangnya menyimpan niat mengambil anak angkat, namun belum ada masa yang sesuai untuk melalui proses berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok