SERAMAI lebih 15 selebriti terkenal tanah air, terdiri daripada pelakon dan penyanyi bakal memeriahkan Festival Makanan Pantai Timur yang berlangsung di Anjung Floria, Putrajaya pada 29 September (hari ini) hingga 1 Oktober nanti.
Lebih menarik, barisan selebriti yang terlibat dalam festival buat julung kali diadakan mewakili setiap negeri dari Pantai Timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu termasuk beberapa artis dari negeri-negeri lain.
Antara artis yang terbabit adalah Maiyuni, Issey Fazlisham, Syafiq Farhain, Ayu Damit, Serina Redzuawan, Roslan Madun, Ayie Lantana, Isma AF, Aril Pilus, Haziq Rosebi, Balkish Semundur dan Avaa Vanja.
Menurut penganjurnya, Noor Shuhada Zakaria, Festival Makanan Pantai Timur itu yang turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia bertujuan untuk mengetengahkan makanan-makanan tradisi yang terdapat di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Festival Makanan Pantai Timur ini menggabungkan tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Tujuannya adalah untuk mengetengahkan makanan dan adat budaya pantai timur kepada rakyat Malaysia, khususnya buat generasi baharu.
“Sebelum ini masyarakat kita sering disajikan dengan festival makanan Thailand. Jadi buat pertama kalinya, kita anjurkan Festival Makanan Pantai Timur untuk memperkenalkan makanan tradisi Malaysia kepada umum,” katanya.
Festival berkenaan juga melibatkan sebanyak 100 gerai (vendor) yang menjual pelbagai makanan dari Pantai Timur.
“Setakat ini, sebanyak 50 buah vendor makanan sudah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Festival Makanan Pantai Timur dan mereka hanya dikenakan bayaran sebanyak RM1,500 sahaja sepanjang tiga hari festival berlangsung.
“Festival bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 malam dan masuk adalah percuma. Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk menyertai acara cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000,” katanya.
Seorang selebriti terlibat, penyanyi dangdut Ani Maiyuni berkata, festival yang berlangsung selama tiga hari turut diserikan dengan persembahan tradisional daripada artis-artis terkenal.
“Menariknya, setiap malam akan ada persembahan berbentuk malam kebudayaan antaranya seperti dikir barat, ulek mayang, persembahan tarian dan nyanyian daripada penyanyi terkenal tanah air.
“Selain itu, aktiviti lain yang akan diadakan seperti ceramah agama, demonstrasi masakan, jualan kraftangan, permainan tradisional pantai timur dan galeri,” katanya.
Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham pua berkata, pada malam terakhir iaitu pada 1 Oktober 2023, dia bakal mengadakan satu persembahan istimewa iaitu dikir barat.
“Pada malam terakhir nanti, saya akan membuat persembahan dikir barat, mewakili kebudayaan negeri Kelantan.
“Bagi saya, acara kebudayaan seperti ini harus diketengahkan dan perlu dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara untuk mempromosikan budaya Malaysia,” ujarnya.