“Tiada lagi perancangan. Pihak Astro memang tiada perancangan untuk Akademi Fantasia buat masa sekarang.”
Itu pengesahan yang dibuat Naib Presiden Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astrom, Raqim Ahmad mengenai program realiti popular Astro, Akademi Fantasia (AF) tidak akan diwujudkan semula selepas kali terakhir diterbitkan tahun tujuh tahun lalu.
Raqim yang ditemui usai sidang media drama One Million Dollar Voice di Dadi Cinema Pavilion menjelaskan, memang tidak terfikir lagi untuk menerbitkan semula rancangan kegemaran ramai itu.
Kalau kalian terdengar dalam komersil atau iklan Astro menggunakan antem Menuju Puncak adalah disebabkan lagu tersebut membangkitkan nilai nostalgia buat penonton,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Sungguhpun begitu, Raqim memaklumkan pihak Astro bakal muncul dengan program realiti baharu selain Gegar Vaganza dan Big Stage pada masa hadapan.
Ada perancangan untuk program realiti baharu tapi bukan AF. Benda itu (program realiti baharu) masih dalam development (proses dibangunkan) lagi.
“Kalau orang bertanya sama ada AF akan diterbitkan semula macam zaman dulu-dulu (uji bakat fizikal seluruh negara), apa yang saya boleh sahkan di sini, memang tiada perancangan ke arah itu,” katanya lagi.
Kali terakhir AF diterbitkan adalah musim ke-13 pada 2016 yang menyaksikan Amir Masdi diangkat sebagai juara terakhir program tersebut.
Setahun kemudian diwujudkan pula AF Megastar yang yang buat julung kalinya menghimpunkan 24 alumni terbaik sepanjang 13 musim AF bersiaran.
AF Megastar dimenangi Idayu, Masya Milan (naib juara) dan Syamel (tempat ketiga).
Terdahulu, timbul desas-desus mengatakan AF bakal membuat kemunculan semula pada 2023 yang turut dilaporkan beberapa portal hiburan tempatan. – HIBGLAM