MELIHAT judulnya sudah menggambarkan Rahsia sebuah paparan naratif yang perlu dirungkai agar tidak lagi menjadi misteri.
Naskhah ini merupakan versi reboot atau bikin semula karya seram asal menggunakan judul serupa yang dinobatkan sebagai pemenang Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-7 (FFM7), selain membolot tujuh anugerah dalam kategori lain pada tahun 1987.
Bakal menggegarkan pawagam tanah air bermula esok, naskhah sarat pengajaran dan plot twist (pusingan plot) arahan Syamyl Othman itu dijangka menjadi penanda aras baharu filem bergenre seram tempatan.
Ditanya alasan memilih membuat versi reboot, bukannya kisah seram baharu, Shamyl berkata, filem Rahsia tahun 1987 arahan bapanya, Othman Hafsham sangat bermakna selain menyuntik inspirasi kepada dirinya sejak kecil.
Shamyl mengakui mahu memperkenalkan naskhah hebat tersebut kepada generasi muda, tetapi dengan sedikit olahan terbaharu mengikut kesesuaian zaman.
Filem Rahsia sangat bermakna kepada saya kerana itu adalah satu-satunya filem seram ayah saya sepanjang karier pengarahannya.
“Jadi, itu memberi idea dan inspirasi untuk saya memperkenalkan cerita ini kepada generasi muda dengan versi yang telah digarap rapi.
“Selain jalan cerita menarik, saya kira percubaan reboot filem Rahsia memberi keseimbangan antara karya asal dengan suntikan pembaharuan bagi kesesuaian penonton masa kini,” katanya.
Shamyl berkata, dia tidak mahu mengambil jalan mudah apabila hanya meniru seratus peratus plot cerita filem asal dan disebabkan itu filem Rahsia dibuat versi reboot bukannya remake.
“Saya cabar diri untuk ambil risiko dengan menghasilkan jalan cerita 70 peratus berbeza daripada kisah asal.
“Sebagai pengarah, saya tidak mahu sekadar bikin semula tanpa sebarang penambahan idea yang lebih segar.
“Takkan penonton datang ke panggung untuk tengok cerita sama atas dasar nostalgia? Mestilah kena ada pembaharuan, sebab itu jalan ceritanya berbeza tetapi tema masih sama,”katanya.
Sementara itu, Nabila Huda selaku teraju utama mengakui selain naskhah berat, watak Ramlah yang dilakonkan juga menuntut penjiwaan mendalam.
“Awalnya saya memahami watak Ramlah dalam filem asal. Selepas dapat skrip versi reboot, saya baca untuk faham jalan cerita versi itu pula dan cuba seimbangkan pembawaan dari segi tema, konsep dan mood watak itu sendiri
“Watak Ramlah sangat berat, saya sendiri tercungap-cungap untuk menjayakan karakter ini. Boleh dikatakan watak ini antara yang sukar pernah saya bawa,”katanya.