Muzik terapi Kunto Aji

SELEPAS berjaya mengikat jiwa peminat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) tahun lalu, Kunto Aji kembali ke Malaysia menerusi konsert Nusafest Kunto Aji di Zepp Kuala Lumpur (KL) pada 4 Ogos lalu.

Lebih 2,000 pencinta muziknya membanjiri premis terbabit untuk menikmati momen indah bersama jejaka yang mesra disapa Mas Kun itu.

Mengalunkan deretan lagu popular termasuk Sulung, Suadade, Terlalu Lama Sendiri, Ekspektasi dan Rehat, Kunto Aji berjaya ‘menyihir’ peminatnya sepanjang  90 minit konsert itu berlangsung.

KUNTO AJI mengalunkan seleksi karya hits yang dinanti ramai pengikut setianya.

Menerusi kehadirannya kali ini Kunto Aji mengumumkan pelancaran album ketiga berjudul Menilik Benih yang bakal menemui peminat September depan.

 

Katanya, karya-karya yang dihasilkan dalam Menilik Benih mengenai semua yang berlaku dalam kehidupannya dalam tempoh lima tahun ini.

Album ini merangkumkan semua perasaan yang saya lalui termasuk ketika fasa pandemik yang memeritkan jiwa ramai manusia dan momen pahit ketika kehilangan bapa tercinta tahun lalu.

“Lagu-lagu dalam album ini saya lihat lebih matang dan tentang kedewasaan. Ibarat saya ranting yang mencari cahaya untuk tumbuh,” tuturnya yang menulis semua lagu dalam Menilik Benih.

Menjawab mengenai ada yang melabel lagu-lagunya sebagai karya penyembuhan atau ‘healing’, dia menyerahkan perkara tersebut kepada setiap pendengar untuk menilai.

“Bersyukur apabila ramai yang menjadikan karya Kunto Aji sebahagian daripada proses penyembuhan jiwa.

Saya ingin selalu mendidik pendengar agar tidak beranggap lagu saya sebagai ubat kepada jiwa kacau.

“Seharusnya mereka berjumpa pakar dan yang lebih profesional jika mahu mendapatkan bantuan,” ujarnya yang pernah berperang dengan serangan panik sebelum ini.

KUNTO AJI berkata muziknya bukan ubat, namun boleh dijadikan sebagai terapi buat diri sendiri.

Muzik yang diperjuangkannya bukan untuk mengubati jiwa yang sedang sulit. Itu penegasan yang berkali-kali diulang oleh pemuzik berasal dari Jogjakarta tersebut.

Saya melepaskan sahaja setiap emosi ketika membuat persembahan dan pentas sudah seperti tempat terapi buat saya.

“Muzik saya bukan ubat, namun boleh dijadikan sebagai terapi buat diri sendiri.

“Adakalanya orang hanya mahu didengar kerana tidak mempunyai kawan dan mungkin dengan mendengar muzik, mereka terasa seperti dibantu,” ujarnya

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok