Menang anugerah bukan lesen naik harga – Sophia Albarakbah

MERANGKUL trofi Aktres Filem Popular menjadi signal kehadirannya dalam industri mendapat perhatian ramai.

Sedikit-sebanyak hakikat itu melegakan hati pelakon jelita, Sophia Albarakbah yang sebelum ini kerap terpalit dengan tanggapan kurang enak.

“Sebenarnya ramai tidak tahu saya mula menceburi dunia lakonan pada 2019 menerusi produksi filem Mimaland bergandingan dengan Fattah Amin.

“Disebabkan ketika itu negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut menjejaskan pelbagai sektor termasuk pawagam, jadi ramai tidak perasan.

“Kemudian, saya membintangi filem Jerangkung Dalam Almari, Pasal Aku, Ada Hantu 1 dan Ada Hantu 2 tetapi waktu itu orang masih bimbang ‘turun’ pawagam.

“Orang lebih banyak tengok drama, mereka fikir saya dari situ tanpa tahu sebenarnya saya bermula dengan filem,” katanya.

TROFI yang dirangkul menjadi pemangkin semangat Sophia untuk memantapkan lagi mutu lakonannya.

Kembara seni aktres berusia 30 tahun nampaknya tidak mudah apabila dia sekali lagi terpaksa berdepan dengan dakwaan kononnya mula meletakkan harga tinggi apabila menang anugerah.

Tegas Sophia, tidak pernah terlintas pun berbuat sedemikian kerana anugerah yang diterima bukan lesen untuk naik harga apatah lagi usia pembabitannya dalam arena seni masih hijau.

“Siapalah saya kalau nak dibandingkan dengan aktres senior lain sehingga mahu letak harga tinggi. Produksi pun tahu bagaimana mahu menilai hasil kerja kita.

“Sebagai penggiat seni, anugerah diterima tentu saja suntik semangat untuk lebih bekerja keras selain memantapkan prestasi lakonan.

“Saya juga mahu mencabar diri membawakan watak berat. Beri saja karakter, saya sedia sahut cabaran,” luahnya dengan penuh semangat.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok