Lepas tawan hati Simon, Cakra Khan kembali ke Malaysia

MENCABAR diri mencuba nasib dalam program America’s Got Talent (AGT) 2023, Cakra Khan menganggap langkah tersebut sebagai memenuhi impian bapa, sekali gus usaha menembusi pasaran antarabangsa.

Ketika namanya semakin hangat diperkatakan susulan keampuhan persembahan di hadapan empat juri termasuk Simon Cowell, penyanyi Indonesia itu terus ligat menyusun agenda besar sepanjang tahun ini.

Biar ruang mencipta nama pentas global semakin besar, Cakra tidak melupakan peminat di rantau ini terutama Malaysia apabila mengotakan janji kembali ke Kuala Lumpur.

Bakal tampil dengan Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur anjuran Dream Festival Collaboration Vol. 4, Zepp Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi persembahan mega pada 17 September depan.

CAKRA KHAN akan kembali menyentuh jiwa pencintanya di Malaysia dengan seleksi lagu galau popular dendangannya.

Sudah pasti kemunculan penyanyi bervokal serak basah yang mempunyai katalog lagu hits itu dinantikan ramai terutama penggemar seleksi galau menyentuh sanubari.

Tentu saja saya tidak sabar bertemu lagi peminat Malaysia yang sejak lebih sedekad lalu memberikan sepenuh sokongan terhadap kerjaya nyanyian saya,” katanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by CKhan✨ (@cakra.khan)

Sementara itu, Pengarah Projek Dream Festival, Rama Ananda Ambri berkata, konsert yang bakal disajikan nanti turut menampilkan penyanyi undangan dari Malaysia.

“Kemunculan Cakra menerusi Siri Dream Festival Collaboration Vol. 4 itu bakal membawa penonton merentasi magis pengembaraan sepanjang sedekad dalam industri seni.

Sebagai penghibur, Cakra dilihat sebagai figura berbakat besar dan memiliki karisma tersendiri setiap kali beraksi berbekalkan kehebatan vokal dan aksinya energetik.

“Kami yakin kemunculan kali ini pasti memberikan kepuasan itu kepada penggemar tegarnya terutama melihat seni Cakra yang meraih pelbagai penghargaan,” ulas Ananda mengenai konsert kelolaan IDN dengan kerjasama Laskar Entertainment itu.
Menurutnya lagi, Dream Festival Collaboration Vol. 4 dirancang dengan sangat teliti dari segi pemilihan lagu, pemuzik serta perincian persembahan yang dijangka berlangsung selama dua jam itu.

Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang tidak dilupakan penonton bersama kerjasama semua penaja,” tambahnya lagi.

Tiket menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 4 – Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dijual pada harga RM178 (Kepada Hati), RM198 (Terlanjur Cinta), RM318 (Kekasih Bayangan) dan RM508 (Tanpa Batas Waktu).

Sementara Royal Box iaitu tempat duduk untuk lapan penonton dijual pada kadar RM5,880 dan boleh diperoleh menerusi www.ticket2u.com.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok