KARYA tempatan arahan Steve Yap, Adoiii Jiwaku meraih trofi khas Audience Award pada Festival Filem Antarabangsa Malaysia keenam (MIFFest6) yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Filem kepelbagaian kaum di Malaysia yang bakal ditayangkan mulai 7 September depan itu memikat perhatian juri atas kesungguhannya mengangkat kisah masyarakat sebagai tema.
Menurut Yap yang juga pelakon dan model, walaupun dikritik apabila menyelitkan babak membabitkan anjing, pada akhirnya penonton faham maksud ingin disampaikan.
“Terima kasih juri kerana mengangkat filem ini sebagai penerima anugerah khas, sekali gus membuka ruang untuk khalayak lebih memahami intipati kisah,” katanya selepas majlis.
Bagi kategori utama iaitu Filem Terbaik, pemenangnya adalah Autobiography dari Indonesia berkisar kehidupan penjaga rumah dan pembantu kepada Jeneral Bersara, Purnawinata yang bertanding sebagai wakil raja.
Filem yang menggabungkan pengkarya pelbagai negara termasuk Perancis, Jerman, Filipina, dan Singapura itu turut membolot trofi utama lain.
Antaranya adalah pengiktirafan bagi kategori Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Aktor Pembantu Terbaik.
Pengarahnya, Makbul Mubarak berkata karya itu adalah lambang kepatuhan seorang anak Indonesia terhadap individu penting dalam kehidupan yang diterjemah menerusi watak Rakib.
Autobiography adalah sebuah karya yang direalisasikan secara bersama dengan ramai penggiat negara lain untuk santapan minda.
“Sebagai naskhah istimewa, tentu sahaja kami mahu mendedikasikan filem ini buat semua pejuang kehidupan,” katanya pada sidang media usai MIFFest6.
Dipancarkan secara langsung di saluran RTM2, sepanjang dua jam lebih 12 trofi diumumkan membabitkan penyertaan 42 filem yang disenarai pendek dari 15 negara.
Filem Jepun yang menyentuh isu sensitif membabitkan warga emas, Plan 75 menyusul sebagai penerima trofi kedua terbanyak dalam majlis tahunan edisi kali ini.
Buah tangan garapan sutradara Chie Hayakawa itu meraih pengiktirafan untuk gelaran Aktres Terbaik menerusi Cheiko Baisho dan Aktres Pembantu Terbaik (Stephanie Arienni)
Sebuah lagi naskhah yang menyerlah adalah Let’s The Dance Begin apabila dicalonkan dalam beberapa kategori, namun filem Argentina itu hanya membawa pulang satu trofi iaitu Aktor Terbaik hasil lakonan mantap Dario Grandinetti.
Sebagai pelengkap, penganjur menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat kepada bintang legenda Taiwan, Sylvia Chang, 70, atas sumbangannya terhadap industri perfileman Asia.
Pelakon yang aktif sejak usia 18 tahun itu menzahirkan rasa terharu atas pengiktirafan tersebut selain berkongsi pengalaman lampau dengan 1,000 tetamu MIFFest6.
Pertama kali menjejaskan kaki ke set penggambaran sekitar 52 tahun lalu, saya tahu itulah tempat saya akan berada sampai bila-bila,” kata pelakon yang mula dikenali menerusi Aces Go Places.
Sementara itu, Pengasas MIFFest, Joanne Goh, berbesar hati dengan penganjuran edisi kali ini yang nyata mendapat liputan meluas hingga ke luar negara, sekali gus mempromosikan industri perfileman dan pelancongan tempatan.
Katanya lagi, penjurian bagi memilih 45 calon terbaik daripada 300 filem turut menyaksikan panel berkredibiliti membabitkan beberapa negara.
Tahun ini barisan juri diketuai pengarah tersohor Hong Kong, Johnnie To, manakala juri pula aktres Vietnam, Truong Ngoc Anh; pengarah berpengalaman Jepun; Hiroki pelawak popular Malaysia, Zizan Razak; serta sutradara Singapura, Eric Khoo.