SIMPATI dengan nasib yang menimpa mangsa kebakaran hutan di Hawaii, anggota kumpulan NCT, Haechan bermurah hati menderma lebih RM100,000 untuk menyokong aktiviti bantuan kecemasan, termasuk usaha pemulihan.
Selain itu, penyanyi tampan itu sempat menzahirkan rasa simpatinya terhadap mangsa yang terjejas dan berharap agar mereka abah menghadapi ujian yang menimpa.
“Takziah saya ucapkan kepada penduduk Hawaii yang sedang bergelut dengan bencana tidak dijangka ini.
“Saya berharap kerosakan itu akan dibaiki segera agar semua orang dapat meneruskan kehidupan seharian mereka dengan selamat. Moga terus kuat dan tabah menghadapi semua ini,” tuturnya menerusi sebuah video.
Sumbangan tersebut diuruskan oleh Korean Red Cross untuk mengawasi pengagihan selain memastikan dana tersebut digunakan untuk menyokong kawasan yang terjejas, sekali gus membantu mereka yang memerlukan.
Sebelum ini, Haechan pernah menderma lebih RM300,000 kepada Komuniti Kebajikan Masyarakat untuk membantu memulihkan kawasan yang dilanda gempa bumi di Turki dan Syria.
Disebabkan itu, Haechan meraih pelbagai pujian dan respons positif peminat, bahkan diberi jolokan sebagai ‘Idola Dermawan’ oleh netizen.