Mata Ayash tutup ketika tidur tetapi air matanya mengalir. Mungkin dia merindui arwah ibunya.”
Demikian pendedahan pelawak dan usahawan, Shuib mengenai kejadian putera bongsunya, Ayash Affan, 2, mengalirkan air mata ketika tidur seakan merindui ibunya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin.
Kata Shuib, situasi terjadi depan matanya itu berlaku semalam yang mana genap dua tahun Sarah meninggalkan mereka.
Menurut pemilik nama sebenarnya, Shahmira Muhammad, kerinduan tidak berpenghujung terhadap Sarah turut dirasai tiga lagi cahaya mata mereka.
“Pada malam selasa selepas solat Isyak, saya bertanya Talita esok (9 Ogos) hari apa dan dia terus sebut dua tahun pemergian ibunya.
Siti Sarah sentiasa dalam hati saya dan anak-anak. Sudah menjadi rutin kami untuk menitipkan doa buatnya setiap hari sebelum tidur,” luah penyampai radio berusia 39 tahun itu.
Pada masa sama, Shuib akui bersyukur dikurniakan kehadiran Watie Hanifiah sebagai teman hidup yang sangat memahami, sekali gus menjadi tempat anak-anak menumpang kasih.
Tambahnya, sejak kehadiran Watie jelas terserlah kebahagiaan pada wajah semua permata hatinya.
Saya dapat tengok anak-anak sangat gembira dengan ‘mommy’ baharu mereka, Watie pandai masak dan anak-anak juga suka dengan masakannya.
“Paling utama perkembangan kesihatan mental anak-anak. Mereka semakin membesar dan saya mahu mereka terus kekal positif dengan kehadiran Watie dalam hidup kami.
“Sekarang, anak ketiga saya, Atiq Matin pun sangat rapat dan melekat dengan Watie sampai saya terasa seperti dipinggirkan,” katanya sambil berseloroh.
Seperti tahun lalu kata Shuib, bukan hanya mengadakan majlis tahlil yang disertai keluarga dan rakan terdekat, mereka juga akan menziarahi kubur arwah hujung minggu ini.
“Siti Sarah suka anjurkan sambutan hari keluarga dengan mengumpulkan semua orang yang dia sayang.
Jadi, saya buat majlis tahlil dan akan bawa anak-anak menziarah pusara arwah ibu mereka hujung minggu ini.
“Semalam saya tak dapat berbuat demikian (ke kubur) kerana mereka bersekolah, memang kena pergi Sabtu atau Ahad,” katanya lagi.
Tarikh 9 Ogos adalah hari pemergian penyanyi kesayangan ramai itu akibat serangan Covid-19.
Tiga hari sebelumnya, pelantun lagu Kesetiaan itu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang berusia tujuh bulan.
Perkongsian hidup dengan arwah Siti Sarah, Shuib dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12; Dzahira Talita Zahra, 10; Ariq Matin, 8 dan Ayash Affan, 2.
Shuib kemudian mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Watie pada 23 Jun lalu. – HIBGLAM