Dafi lali status anak menteri

SELAMA 16 tahun mewarnai kanvas dunia hiburan tempatan sebagai penyanyi dan pelakon, pemilik nama pentas Dafi Ismail sebenarnya sudah lali apabila statusnya sebagai anak individu berpengaruh di Malaysia sering dijadikan bahan pertikaian.

Lebih teruk, laluan mudah dan pembabitan dalam mana-mana projek juga dikatakan hasil statusnya sebagai anak ahli politik, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Selepas berbelas tahun melalui perkara sama, Dafi atau nama lengkapnya Gadaffi Ismail Sabri Yaakob tidak mampu lagi menutup mulut orang yang sering mempersoalkan statusnya. Apa selayaknya dilakukan, hanyalah menutup mata dan memekakkan telinga.

Dafi tiada masalah dengan cemuhan orang, kerana hakikatnya, dia juga sama seperti selebriti lain yang perlu berusaha sendiri mencari peluang untuk kekal relevan dalam industri.

“Saya bermula dalam industri sekitar tahun 2007 ketika menyertai program Akademi Fantasia musim kelima (AF5). Selang setahun selepas itu, bapa saya dilantik sebagai menteri.

“Jadi sudah berbelas tahun saya hadap perkara sama apabila status saya sebagai anak ahli politik menjadi persoalan.

“Saya tidak boleh buat apa-apa dan perlu hadap perkara sebegini. Biarlah orang nak cakap apa, saya cuma butakan mata dan pekakkan telinga sahaja.

“Hakikatnya saya tidak pernah menggunakan pengaruh keluarga (bapa),” ujar pemegang Diploma Profesional Seni Muzik dan Bunyi dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu.

Politik

Belum terfikir untuk mengikut jejak langkah bapanya menceburi politik, penyanyi yang popular menerusi lagu Bila Terasa Rindu itu bagaimanapun tidak berani untuk berkata ‘tidak’ kerana belum pasti dengan jalan hidup dan masa depannya.

Namun yang pasti, lelaki berwajah ‘jambu’ itu memang belum terfikir lagi ke arah itu.

DAFI mengakui teruja diberi peluang untuk membintangi filem Malbatt: Misi Bakara.

“Sertai politik? Saya tidak berani beri jaminan pada masa depan. Tapi buat masa ini, memang saya tidak terfikir lagi untuk terjun dalam politik.

“Sebab saya punya pandangan yang berbeza dalam dunia politik dengan orang lain. Jadi buat masa ini, saya tidak rasa cukup kuat lagi.

“Tapi tipu kalau ayah tidak mengharapkan ada anak-anaknya, termasuk saya ikut jejak langkahnya. Hanya adik saya yang menampakkan ciri-ciri mengikut jejak langkah ayah ketika ini,” jelasnya yang menganggap tugas menjadi pemimpin bukan suatu hal mudah.

Dari satu sisi lain, bukan hanya politik menjadi penunjuk kecintaan terhadap negara.

Dafi yang bakal muncul dalam filem ketenteraan berjudul Malbatt: Misi Bakara teruja apabila buat kali pertamanya terbabit dalam naskhah sedemikian.

Kata Dafi, dia sebenarnya tidak pernah terfikir akan berlakon dalam sebuah filem aksi ketenteraan yang mengambil inspirasi daripada kisah sebenar.

“Dalam filem Malbatt: Misi Bakara ini, saya membawakan watak sebagai Lans Koperal Zulkifli. Semasa mula-mula saya menerima tawaran, saya fikir dua tiga kali juga untuk terima, takut akan ‘mencacatkan’ filem orang.

“Tapi saya sangat berterima kasih kepada pengarahnya iaitu Adrian Teh sebab beri saya kepercayaan dan keyakinan.

“Saya bangga juga dengan diri sendiri sebab dapat buat sesuatu yang saya tak sangka boleh lakukan,” kata Dafi yang mengidamkan untuk membawa watak seorang ‘superhero’ suatu hari nanti.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok