BUAT julung kalinya Anugerah TikTok 2023 dianjurkan bagi menghargai pencipta kandungan tempatan berbakat besar yang berani meneroka kreativiti dan menjadi sumber inspirasi kepada komuniti.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan yang menyaksikan ganjaran lumayan membabitkan enam kategori juri profesional manakala tujuh lagi adalah kategori bersandarkan undian atas talian.
Ketua Pemasaran dan Operasi, TikTok Malaysia, Yin Yin Hooi berkata, bagi edisi pertama sebanyak 13 kategori dipertandingkan yang terbahagi kepada Pilihan Juri dan Pilihan Peminat.
“Kami teruja membawakan TikTok Awards kepada rakyat Malaysia untuk meraikan pencapaian dan usaha luar biasa yang dipamerkan oleh warga pencipta kita yang merupakan tulang belakang platform ini.
“Tema ‘Yang Gah di Skrin Kecil’ mendemonstrasikan potensi membatasi sempadan untuk warga pencipta kita menggandakan dan mempersembahkan kejayaan mereka di atas pentas besar,” katanya pada majlis sidang media Anugerah TikTok 2023, semalam.
Kategori Pilihan Juri yang dipertandingkan terdiri daripada Best of Beauty & Fashion, Best of Education, Best of Entertainment, Best of Foodie, Best of Gaming dan Best of Sports.
Tujuh kategori Pilihan Peminat (People’s Choice) pula membabitkan Creator of the Year, Rising Star of the Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of the Year, Celebrity of the Year, Live Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year.
Bagi Pilihan Juri, calon dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan keputusan akan dibuat panel eksekutif.
Antara juri kali ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof dan Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra.
Artis prolifik, Hael Husaini juga turut terlibat dalam pemilihan 10 calon terbaik bagi enam kategori tersebut.
Malam kemuncak Anugerah TikTok Malaysia 2023 dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 27 Ogos ini dengan menghimpunkan yang terbaik dalam arena penciptaan konten.
Pada masa sama, Yin, berkata pihaknya mengangkat tema ‘Yang Gah di Skrin Kecil’ kerana percaya anugerah ini bakal menjadi batu loncatan buat pencipta kandungan digital mendapat pendedahan lebih meluas.
“Anugerah ini membuktikan pencipta konten anak tempatan juga mempunyai potensi untuk diketengahkan kerana mereka mampu meraih jutaan tontonan selain turut diikuti pengikut dari luar negara.
“Platform ini menjadi gelanggang pengiktirafan untuk menyemarakkan lagi semangat mereka mencipta kandungan lebih berkualiti sekali gus setara dengan pencipta konten antrabangsa yang lain,” katanya.Sementara itu, majlis pengiktirafan tersebut bakal dikemudi gandingan popular iaitu Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson, manakala acara karpet merah pula akan dihoskan Ceddy dan Sissy Imann.
Detik dan coretan belakang pentas pula akan dihoskan Jaa Suzuran dan Neeta Manis. – HIBGLAM