SEKITAR tahun 1996, beliau muncul dengan album pertama yang mempertaruhkan namanya semata-mata sebagai judul iaitu Siti Nurhaliza.
Kini selepas 27 tahun, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kembali menggunakan namanya sendiri untuk album terbaharu tetapi kali ini dengan suntikan linguistik -ism yang bernuansa moden dan kedengaran saintifik, SITISM.
Hadir selepas hampir tiga dasawarsa, SITISM penuh kematangan dan hasil eksperimentasi muzik yang dicanai dari beberapa tahun kebelakangan ini.
Siti bukan ‘artis kampung’ yang statik. Sejak pasca era album Transkripsi dia cenderung untuk sentiasa memberikan kelainan muzik mengikut selera semasa dan positiviti sedangkan orang ramai lebih mesra mengingatinya sebagai artis dengan lagu-lagu ‘balada leman’ pilu sebagaimana album-album awalnya.
Boleh dikatakan eksperimentasi kali ini membuahkan kejayaan dengan untaian lagu segar yang lebih mesra telinga dan sukar dilangkau.
Penerimaan peminat juga cukup memberangsangkan apabila album ini sohor kini berhari-hari dalam Twitter dengan pencapaian terbaik di tangga pertama iTunes Malaysia, Brunei, Singapura dan pernah lingkungan Top 5 di Indonesia, selain menembusi Australia.
Ketika tidak ramai penyanyi tanah air mengeluarkan album, penyanyi No.1 negara itu masih mampu konsisten melakukannya.
Evolusi Siti Nurhaliza?
Ada yang menyifatkan SITISM sebagai evolusi Siti Nurhaliza atau Siti era baharu. Bagi penulis, cara nyanyian dan ciri khas masih kekal ‘kesitian’ yang kita kenal dulu, kerana sekurang-kurang itulah yang dimaksudkan oleh komposer Aubrey Suwito yang sering menggunakan istilah Siti-ism dalam menggambarkan keunikan dan ciri khas suara Siti, cuma kini Siti lebih matang dan berani meneroka muzik segar, namun kedengaran ‘cocok’ dengannya.
Bermula dengan trek pertama, Menyapa Dunia, lagu ciptaan dan tulisan komposer Melly Goeslaw ini dianggap bingkisan begitu menyentuh hati buat para peminat dan semua yang menyokong perjalanan seninya. Lagu tersebut menggambarkan menerusi nyanyianlah dunia mengenali Siti.
Kuat DNA Melly, namun irama atau lenggok Jawa di tengah lagu membuatkannya kedengaran berbeza.
Ternyata Siti serasi dengan Melly dalam menyuarakan hasrat hati terdalamnya sebagaimana Biarlah Rahsia untuk zaman percintaannya dan Kuasa Cintamu dedikasi anaknya, Aafiyah dalam album terdahulu.
Pemilihan perkataan ‘menyapa’ dipuji kerana berkonotasi kerendahan hati dan kesantunan seorang Siti.
Beralih kepada trek kedua, Tanpa Diri-Mu, sebuah lagu ketuhanan yang ampuh tersendiri.
Karya tersebut umpama satu refleksi diri yang mengingatkan bahawa hanya dengan reda Tuhanlah kita ditemukan bahagia.
Trek ketiga pula naskhah ciptaan Aubrey dan lirik Rozi Sangdewi, Sehebat Matahari. Lagu ini mempunyai vibe semangat mengingatkan penulis kepada lagu Lebih Indah yang banyak berkias alam untuk menggambarkan cabaran kehidupan.
Lagu yang berbait lirik jadilah bak matahari, bersinar meski sendiri mungkin akan jadi pilihan di pentas-pentas motivasi.
‘Vibe’ Dua Dunia
Lagu keempat, Ganti merupakan sebuah lagu rancak segar dengan rentak rap dan menunjukkan sisi berbeza Siti yang jarang-jarang ditonjolkan.
Kedengaran seperti era nyanyian ‘halus’ bersama Too Phat, Dua Dunia, lagu ciptaan Mingaling dan Nuha Nik ini memang antara kegemaran peminat.
Beralih kepada trek kelima, Romansa Kita. Penulis rasakan ini adalah lagu terbaik dalam album ini. Lagu balada rock ciptaan komposer Sharon Paul dan ditulis Rozi Sangdewi ini dramatik, penuh dinamik, vokal dan iramanya tinggi rendah serta lirik yang syahdu.
Keenam Teratas, karya balada berkenaan dengan muzik gah ala skor filem menerusi intro.
Lagu ciptaan Tomok dengan lirik puitis karangan Fedtri Yahya rentaknya kian ‘padu’ menuju ke penghujung lagu.
Trek ketujuh lagu telah terlebih dahulu diperdengarkan kepada umum iaitu Menjaga Cinta yang menjadi runut bunyi filem Anwar, The Untold Story.
Lagu cinta ciptaan komposer Indonesia, Andi Rianto ini merupakan balada indah yang mempunyai irama ‘besar’ dan menenangkan.
Terakhir, Magis kedengaran rancak tradisional tetapi lebih moden futuristik. Bagi mereka yang merindui Siti menarik suara ala qasidah boleh dengarkan lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito ini.
Biarpun tidaklah sempurna apatah lagi dengan suara Siti yang sedikit terjejas lantaran faktor kesihatan yang semua sudah sedia maklum, setiap lagu mempunyai kekuatan yang kita rasa mahu dengar lagi sama ada pada lenggok suara Siti, vokal gemersik, irama menarik, lirik menusuk dan sebagainya.
Kesimpulannya, jika anda tercari-cari Siti Nurhaliza yang lama dalam album ini, anda mungkin tidak temukannya tetapi tidak mustahil anda boleh jatuh cinta dengan Siti Nurhaliza yang baharu.
Apa yang pasti, lapan lagu ini sudah cukup membuat hati para peminat meronta untuk menanti empat lagi lagu yang bakal dikeluarkan bagi album deluxe sekali gus album fizikal pada bulan depan.