KEHIDUPAN yang semakin mencabar baik dalam aspek pekerjaan, kesihatan, ekonomi, perhubungan dan kekeluargaan telah menyumbang kepada masalah gangguan kesihatan mental.
Boleh dikatakan ramai yang terjejas dengan masalah kesihatan mental. Tanpa sedar, kita membiarkan tekanan dan kedukaan itu berlarutan tanpa sebarang bantuan atau rawatan sehingga keadaan menjadi semakin parah.
Ada juga yang tidak jelas dengan simptom-simptom gangguan mental sehingga menganggap tekanan yang dialami itu adalah perkara biasa dan ia akan sembuh dengan sendiri.
Sehubungan itu, dengan merujuk Healthdirect, Relevan kongsikan sembilan simptom gangguan kesihatan mental sebagai panduan, supaya bantuan segera dapat diberikan kepada diri mahupun orang terdekat yang mengalami masalah tersebut.
Namun, harus diingat, tanda-tanda ini bukanlah diagnosis untuk keadaan mental anda. Jika ada mengalami sebarang tanda ini, rujuk doktor atau pakar kesihatan mental untuk diagnosis yang lebih tepat.
1. Berasa cemas atau bimbang
Kita semua berasa risau atau tertekan dari semasa ke semasa. Tetapi kebimbangan (anxiety) boleh menjadi tanda gangguan kesihatan mental jika ia berterusan dan mengganggu sepanjang masa.
Antara gejala kebimbangan termasuklah jantung berdebar-debar, sesak nafas, sakit kepala, berpeluh, menggeletar, berasa pening, gelisah, cirit-birit dan tidak boleh berhenti berfikir.
2. Sedih dan mudah marah
Tanda-tanda kemurungan termasuklah sedih atau mudah marah selama beberapa minggu atau lebih, kurang motivasi dan tenaga, hilang minat dalam hobi serta menangis sepanjang masa.
3. Ledakan emosi
Setiap orang mempunyai mood yang berbeza tetapi perubahan mood yang mendadak dan dramatik seperti rasa tertekan atau kemarahan yang melampau boleh menjadi gejala penyakit mental.
4. Masalah tidur
Perubahan berpanjangan pada corak tidur seseorang boleh menjadi gejala gangguan kesihatan mental.
Contohnya, insomnia boleh menjadi petanda anda mengalami masalah kebimbangan atau mengambil bahan terlarang.
Selain itu, tidur terlalu banyak atau terlalu sedikit juga boleh menandakan kemurungan atau gangguan tidur.
5. Berat badan atau selera makan berubah
Bagi sesetengah orang, berat badan yang turun naik atau penurunan berat badan yang cepat boleh menjadi salah satu tanda amaran gangguan kesihatan mental seperti kemurungan atau gangguan makan.
6. Senyap atau menjauhkan diri
Menjauhkan diri daripada kehidupan harian, terutamanya jika perubahan ini berlaku dengan sangat ketara boleh menjadi petanda gangguan kesihatan mental.
Jika rakan atau orang tersayang kerap mengasingkan diri, mereka mungkin mengalami kemurungan, gangguan bipolar, gangguan psikotik atau gangguan kesihatan mental yang lain.
7. Penyalahgunaan bahan terlarang
Menggunakan bahan tertentu untuk mengatasi kemurungan seperti alkohol atau dadah boleh menjadi tanda gangguan kesihatan mental. Perlu diingat, penggunaan bahan tersebut juga boleh menyumbang kepada penyakit mental.
8. Rasa bersalah atau tidak berharga
Jika anda pernah berfikir seperti ‘saya gagal’, ‘ini salah saya’ atau ‘saya tidak bernilai’, itu semua adalah tanda kemungkinan gangguan kesihatan mental seperti kemurungan. Anda mungkin memerlukan bantuan jika kerap mengkritik atau menyalahkan diri sendiri.
Tahap paling teruk, seseorang itu meluahkan perasaan mahu menyakiti atau membunuh diri.
9. Perubahan Tingkah Laku atau perasaan
Gangguan kesihatan mental mungkin bermula sebagai perubahan halus pada perasaan, pemikiran dan tingkah laku seseorang.
Perubahan yang berterusan dan ketara boleh menjadi tanda bahawa mereka mempunyai atau sedang mengalami gangguan kesihatan mental. Jika merasa ada sesuatu yang tidak betul, adalah penting untuk memulakan perbualan bagi mendapatkan pandangan dan bantuan. – SUMBER RELEVAN