SHAH ALAM – Bapa Allahyarham Siti Sarah, Raisuddin Hamzah yakin isteri baharu Shuib, Watie mampu menjadi ibu tiri yang baik kepada empat cucunya.
Melihat keakraban Watie dengan cucu-cucunya, Raisuddin sebagai datuk hanya mampu menitipkan pesan kepada wanita yang sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya itu supaya menjaga anak-anak Siti Sarah seperti darah daging sendiri.
“Saya doakan mereka berdua berbahagia hingga ke jannah dan dapat menikmati perjalanan kehidupan ini bersama anak-anak, selain titipkan pesan jagalah mereka dengan macam anak sendiri.
“Lagipun tiada apa perlu dirisaukan sebab dia pun rapat dengan Talita. Selebihnya kita serahkan kepada Allah, itu yang terbaik,” katanya mengulas pandangannya terhadap usahawan yang kini menjadi emak tiri cucunya.
Menurut penyanyi veteran yang sudah mencecah usia 67 tahun itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad sememangnya seorang lelaki yang mengutamakan keluarga sejak menjadi suami arwah anaknya pada 2011.
Malah Raisuddin percaya, keakraban menantu yang sudah dianggap seperti anak sendiri tidak akan terlerai selepas bernikah kali kedua selepas menduda hampir dua tahun berikutan kematian Siti Sarah.
“Dia berhak untuk bahagia. Kalau 80 peratus dia dengan keluarga saya pun tak boleh, 50 peratus pun tak adil buat dirinya sebab sekarang Shuib sudah punya teman hidup baharu. Jadi kita semua kena respek semua itu.
“Shuib pun anak yang baik. Dia sudah anggap saya seperti ayah sendiri apabila minta saya dan isteri hadir ke majlis berinai dan khatam Al-Quran, sedangkan tak perlu pun kami ada. Begitu juga ketika nikah, dia minta saya duduk di sebelahnya. Itu buat saya terharu,” katanya.
Jumaat lalu pelawak dan penyampai radio itu selamat bergelar suami kepada Watie atau Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35. Pasangan terbabit mengikat pertunangan pada 6 Mei lalu iaitu selepas lima bulan mengenali hati budi.
Sepanjang tempoh tersebut pelbagai dugaan dilalui mereka terutama Watie yang kerap dibandingkan dengan Allahyarham Siti Sarah dari pelbagai segi selain berdepan kecaman tidak sepatutnya.
Terdahulu, Shuib yang juga ahli perniagaan mula mengenali Watie menerusi Instagram yang membawa kepada ikatan suci ini.
Sebelum ini, pelawak asal Johor Bahru itu mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Siti Sarah pada 2011.
Bagaimanapun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan COVID-19 pada 9 Ogos 2021.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2. – KOSMO! ONLINE