PENYANYI muda cacat penglihatan asal Indonesia, Putri Ariani yang mencipta fenomena tersendiri dalam pertandingan realiti, America’S Got Talent (AGT) tidak menyangka impiannya bergelar penyanyi di Amerika Syarikat semakin termakbul.
Putri atau nama sebenarnya, Ariani Nisma Putri, 17, merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terutama buat juri tetap, Simon Cowell kerana menghargai bakat nyanyiannya dan membenarkan dirinya ke peringkat selanjutnya dalam program terbabit.
“Terima kasih Simon Cowell untuk momen yang paling hebat dan tidak mungkin dilupakan sepanjang kehidupan saya.
“Terima kasih kerana membuatkan impian saya menjadi nyata. Tidak tahu bagaimana nak ungkapkan semua ini, tetapi apa yang berlaku benar-benar suatu magis,” katanya menerusi ruangan komen akaun Instagram AGT.
Putri Ariani menjadi kebanggaan rakyat Indonesia apabila mengejutkan juri dan penonton AGT selepas berjaya mendapat Golden Buzzer daripada juri, Simon Cowell, semalam.
Walaupun buta atau cacat penglihatan, itu bukanlah penghalang buat Putri untuk menampilkan persembahan luar biasa dengan bakat nyanyian serta skil bermain piano.
Remaja itu menyanyikan lagu ciptaannya berjudul Loneliness sambil bermain piano, sekali gus membuatkan Cowell segera menekan Golden Buzzer.
“Impian saya adalah menjadi diva terbesar di dunia seperti Whitney Houston dan memenangi Grammy Award,” katanya.
Usai mendendangkan lagu tersebut, Putri diminta menyanyikan lagu kedua dendangan Elton John, Sorry Seems To Be The Hardest Word.
Dia kemudiannya diberi tepukan sambil berdiri (standing ovation) daripada juri dan juga audiens.
“Awak baru berusia 17 tahun. Awak sudah menulis lagu dan juga mempunyai suara tersendiri yang menakjubkan. Awak adalah salah seorang penyanyi terbaik yang pernah kami miliki dalam program kami,” kata Cowell. – HIBGLAM