Dangdut tidak lucah – Ani Maiyuni

“Dahulu kami bergelek tetapi tidak pula dicop lucah.”

Demikian luahan kekesalan penyanyi dangdut, Ani Maiyuni terhadap sikap keterlaluan sesetengah artis dangdut masa kini yang gemar mencipta konten sensasi dalam media sosial sehingga mencetuskan persepsi buruk terhadap irama muzik tersebut.

Ani turut mempertahankan keseriusan penglibatan penyanyi dangdut sebagai satu cabang karier yang mempertaruhkan bakat bukannya menjual gelek berbaur lucah.

Penyanyi berusia 44 tahun itu berkata, sekitar awal 2000 dangdut juga dihormati sebagai seperti irama lain, bahkan persembahan dangdut penyanyi terdahulu tidak dilabel lucah atau dikecam teruk seperti hari ini.

Katanya, situasi tersebut bertukar apabila ada dalam kalangan penyanyi dangdut yang keterlaluan mencipta konten media sosial sehingga mengundang kecaman, kemudian menyalahkan pihak lain, kononnya menjadi mangsa keadaan.

“Dahulu waktu saya mula-mula menyanyi, saya turut bergelek tapi tiada pula dicop gelek kami lucah. Sekarang beza, penyanyi dangdut dihina dan dikecam semata-mata sebab bahan dalam sosial media.

“Jadi yang salah adalah artis itu sendiri, bukan dangdut. Apabila situasi sebegini diperkatakan, kami (penyanyi dangdut senior) terheret sama,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ani yang terkenal menerusi lagu Sha La La itu bagaimanapun mengakui kecenderungan mencipta konten sensasi akan menarik lebih ramai pengikut, namun bukan begitu pendekatan dirinya yang selesa ‘menjual’ bakat.

“Disebabkan sikap sesetengah artis itu, artis lain pun terjejas. Saya pun terkena tempias apabila ada yang minta saya untuk komen hal negatif orang lain. Dia yang cipta konten untuk dimaki, kemudian kata diri mangsa,” kata Ani yang popular menerusi lagu Sha La La itu.

Pemilik nama sebenar Aishah An-Nur Osman, turut menyatakan tidak kira genre muzik apa pun, seseorang penghibur seharusnya menunjukkan imej yang baik sebagai contoh kepada masyarakat.

“Sewaktu nak jadi artis dahulu, syarikat rakaman akan cari artis yang ada sifat baik supaya boleh jadi ikutan peminat hinggakan dalam kontrak pun tak boleh ada kekasih,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman penganjuran Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang turut dihadiri penyanyi dangdut Indonesia termasuk Siti Badriah.

Berbesar hati menerima tawaran merealisasikan sebuah persembahan mega dangdut di negara ini, penyanyi lagu Sedap itu menyifatkan penganjuran konsert sedemimian antara permulaan baik bagi pejuang irama itu.

“Dangdut mempunyai peminat tegar, cuma mungkin platform untuk penganjuran konsert besar seperti ini kurang dan diharap selepas ini banyak lagi acara seumpamanya diadakan.

“Saya akan bawakan tiga lagu dan sebuah lagu baharu yang akan saya sampaikan. Sudah tentu saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin,” katanya se,epas majlis pelancaran konsert Goyang Asia Koplo Milenia di sini, semalam.

Selain Ani, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia yang bakal berlangsung di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan, turut disertai Baby Shima.

Malah persembahan mega anjuran Mission Sight Sdn. Bhd itu juga membariskan artis dangdut popular Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesti Klepek Klepek dan Rhena Morena. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok