Penyanyi dan pelakon Harris Alif meluahkan rasa teruja dapat melancarkan lagu terbaharu berjudul Terindah yang didedikasikan khas buat cahaya mata sulungnya, Evie Khadeeja.
Kata Harris, 24, lagu tersebut ada kaitan dan merupakan kesinambungan dengan single terdahulu sebelum ini iaitu Anugerah yang dilancarkan pada 2021.
Lebih manis kongsi Harris, dia menerima khabar gembira mengenai kehamilan isterinya ketika sedang ingin membuat rakaman lagu berkenaan.
“Selepas mendengar demo yang diberikan daripada pihak Sony Music, saya pun menerima tawaran untuk menyanyikan lagu ini memandangkan jalan ceritanya juga berkait dengan dua single saya sebelum ini iaitu Anugerah dan Permaisuri.
“Saya merakamkan lagu ini tidak lama selepas berkahwin dan kebetulan ketika merakamkannya, saya menerima berita bahawa isteri saya hamil cahaya mata pertama kami.
“Walaupun terjadi secara kebetulan, namun saya memilih untuk mendedikasikan lagu ini untuk anak saya. Tidak dapat digambarkan betapa terharu dan gembira ketika mula-mula mengetahui saya bakal menimang cahaya mata ketika itu,” kata pemilik nama lengkap Nor Harris Alif Nor Rashidi.
Dalam lagu tersebut, Harris juga berkongsi pengalaman sebagai seorang bapa yang diluahkan melalui bait-bait lirik Terindah.
Pelakon Aku, Kau & Dia itu berkata, sejak bergelar bapa awal tahun lalu, dia menjalani rutin harian yang padat setiap hari.
“Pada pendapat saya, rezeki memiliki anak bukanlah satu kegembiraan yang biasa kerana tentunya menjadi kemanisan yang luar biasa.
“Lagi-lagi bait lirik lagu ini memang indah jadi saya rasakan setiap perkara digabungkan dengan sempurna.
“Melancarkan lagu selepas kahwin tidaklah begitu mencabar, tetapi cabaran lain adalah apabila kita memiliki anak kerana perlu membahagikan masa sebaik mungkin,” ujarnya.
Lagu Terindah boleh dimuat turun dalam iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
Sekadar info, Harris mendirikan rumah tangga bersama pelakon jelita Intan Ladyana pada 5 Februari 2021.
Selepas setahun berkahwin, pasangan bahagia itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Evie Khadeeja yang dilahirkan pada 31 Januari 2022.